Jangan Anaktirikan 80,000 Penduduk Bagan Datuk – Datuk Shahrul

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan Perak diminta tidak `menganaktirikan’ 80,000 penduduk Bagan Datuk susulan tindakan kerajaan baharu itu mahu menangguhkan semua projek pembangunan di daerah Bagan Datuk yang disiapkan di bawah 15 peratus.

Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya yang menyuarakan kebimbangan ini berharap kerajaan PH meneruskan projek pembangunan di Bagan Datuk yang diluluskan oleh kerajaan sebelum ini demi faedah dan kepentingan rakyat.

Menurut Shahrul, segala pembangunan yang dirancang sebelum ini dibuat berdasarkan status Bagan Datuk sebagai daerah penuh bagi memastikan kawasan itu tidak tertinggal dari segi pembangunan seperti mana daerah lain.

“Kita harap tidak dianaktirikan kerana Bagan Datuk ini antara kawasan Parlimen dan DUN kesemuanya dimenangi oleh BN. Jadi kita harap janganlah kerana itu rakyat di Bagan Datuk dijadikan mangsa kerana kawasan ini juga adalah kerusi bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno.

“Kalau betullah ini kerajaan baharu, mereka perlulah membuat keputusan yang adil dan saksama dan bukan bersifat balas dendam dan sebagainya,” katanya kepada pemberita dibilik media, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.

Beliau mengulas jawapan Exco Pelaburan, Industri dan Pembangunan Wilayah Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sesi soalan lisan bahawa semua projek pembangunan di Daerah Bagan Datuk yang disiapkan di bawah 15 peratus akan ditangguhkan.

Datuk Shahrul Zaman menambah, pembangunan itu bukan sahaja untuk kesejahteraan penduduk Bagan Datuk tetapi untuk Perak keseluruhannya kerana pembangunan itu dirancang di bawah Wilayah Perak Selatan.

Katanya lagi, kerajaan perlu memberikan perhatian khusus pada setiap projek pembangunan yang melibatkan kepentingan ramai supaya diluluskan seperti kampus baharu Kolej Komuniti Bagan Datuk, jambatan Bagan Datuk-Sejagop, klinik kesihatan dan pelbagai lagi kemudahan yang ditangguhkan.

“Begitu juga dengan projek kompleks sukan, ia amat penting kerana jika kejohanan sukan peringkat sekolah atau daerah nak dibuat, mereka terpaksa ke Sabak Bernam, Selangor dan tidak ke Teluk Intan kerana menempuh perjalanan yang jauh,’’ katanya

Menurut Shahrul, kerajaan negeri perlu membantu dengan meminta kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan bagi projek-projek berkenaan.