Remaja Perlukan Buah Pinggang Baru

Reading Time: 2 minutes

oleh Rosli Mansor Ahad Razali

Ipoh – Walaupun sentiasa mengukirkan senyuman, namun di lubuk hati adik Muhammad Aidil Adha Muhammad Rizal, 14, masih menaruh harapan agar suatu hari dia akan sembuh dan dapat meneruskan persekolahannya seperti remaja lain.

“Saya disahkan mengidap sakit buah pinggang sewaktu berusia setahun setengah. Kesan dari itu membuatkan mata saya mengalami kekaburan, kebas badan, tekanan darah tinggi dan kurang selera makan.

“Sekarang saya mengambil sebanyak 10 jenis ubat. Jumlah sehari ubat yang terpaksa saya ambil ialah sebanyak 20 biji,” kata Aidil.

Aidil terpaksa berhenti sekolah pada bulan Januari lalu kerana menjalani pembedahan kecil bagi memasukkan tiub ke saluran buah pinggang untuk memudahkan proses memasukkan air bagi mencuci buah pinggang dilakukan sendiri di rumah.

Aidil adalah anak sulong kepada ibunya, Aida Ghazali, 39, merupakan ibu tunggal sejak lapan tahun dahulu, tinggal bersama adik lelakinya di rumah sewa terletak di Jalan Kledang Raya 12, Taman Malcop.

Menurut ibunya, bayaran sewa rumah telah tertunggak dua bulan kerana dia kesempitan wang disebabkan perniagaannya ditutup selama sebulan di bulan puasa yang lalu. 

“Kami menerima bantuan bulanan dari Baitulamal sebanyak RM400 sebulan. Saya gunakan wang ini untuk perbelanjaan harian dan membayar bil air dan letrik.

“Pendapatan saya tidak menentu kerana saya hanya berniaga makanan kecil-kecilan untuk sarapan pagi sahaja,” katanya.

Tambahnya lagi, dia mengharapkan anaknya sembuh sekiranya ada yang sedia menderma buah pinggang untuk anaknya.

“Menurut doktor sekiranya Adil menerima buah pinggang baru, dia tidak perlu lagi melakukan kaedah mencuci buah pinggang tiga hari sekali tetapi hanya perlu mengambil ubat setiap hari sahaja.

“Saya mengharapkan Aidil boleh meneruskan persekolahannya sekiranya dia memperolehi buah pinggang baru.

“Saya bersedia menderma buah pinggang kepada Aidil tetapi Aidil tidak merestuinya kerana dia bimbang saya pula akan akan sakit dan tidak boleh bekerja mencari rezeki untuk keluarga,” katanya sambil air matanya berlinangan.

Untuk mereka yang ingin membuat sumbangan atau sebarang bentuk bantuan, bolehlah disalurkan ke akaun Aida Binti Ghazali BSN 08 10 04 1000 20 54 79 atau hubungi Aida di talian 017 529 1521.