Kerajaan PH Perak Perlu Segera Naik Taraf Daerah Kecil Selama – Agar Penduduk Tidak Dipinggir

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kerajaan Pakatan Harapan Perak yang mengutamakan kepentingan rakyat perlu segera menaikkan taraf Daerah Kecil Selama sebagai daerah penuh bagi memastikan penduduk di kawasan daerah berkenaan tidak dipinggirkan.

Menurut Adun Selama, Mohd Akmal Kamaruddin, sudah tiba masanya daerah kecil Selama dinaiktaraf memandangkan terdapat kemudahan awam sedia ada seperti Hospital Selama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama dan sebagainya.

Katanya, jika Bagan Datuk yang tidak mempunyai kemudahan awam seperti itu boleh dinaik taraf sebagai daerah penuh, sepatutnya kawasan Selama juga lebih awal dinaik taraf sebagai daerah penuh.

Beliau berkata, peruntukan pembangunan yang diterima daripada kerajaan negeri sebelum ini dikongsi di bawah Daerah Larut Matang dan Selama yang banyak diberikan kepada Taiping.

“Selama hanya dapat sebahagian kecil sahaja..Janganlah pinggirkan Selama, sudah tiba masanya Selama dapat pelbagai manfaat,” katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media Dun Perak pada Rabu.

Menurut Mohd Akmal, limpahan pembangunan hasil pengiktirafan sebagai daerah penuh itu nanti akan turut dirasai oleh kawasan berhampiran iaitu Dun Kubu Gajah dan Dun Batu Kurau.

Lebuhraya Laluan Baru Lalui Selama

Selain itu katanya, jaringan jalan raya juga perlu ditambah baik dengan mewujudkan lebuh raya menghubungkan Selama ke Taiping dan Kulim, Kedah kerana ramai tenaga kerja dari Selama dibekalkan ke kawasan perindustrian di Taiping dan Kulim.

“Jika diwujudkan lebuhraya penduduk boleh kekal tinggal di Selama tanpa perlu berhijrah keluar memandangkan sekolah-sekolah di Selama semakin kekurangan murid.

“Saya minta supaya Lebuhraya Jelapang-Selama-Batu Kawan (Jelas) yang dicadangkan sebelum ini dipertimbangkan semula,’’ katanya.

Menurut beliau Lebuhraya baru ini juga bakal memberi manfaat kepada lebih 40,000 penduduk di Selama khususnya pembabitan mereka dapat kegiatan ekonomi.