KUALA KANGSAR | Persiapan sedang dibuat untuk menaik taraf Dataran Lembah Kuala Kangsar sebagai salah satu destinasi tarikan pelancong dalam dan luar negara ke Perak menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020).
Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), Zulkarnain Mohamed, antara langkah yang diambil adalah menstruktur semula kawasan perniagaan di dataran itu agar kelihatan lebih kemas, menarik dan tersusun.
“Selain itu usaha besar-besaran membersihkan seluruh kawasan dataran dan sekitarnya sedang giat dijalankan agar ia kelihatan lebih bersih dan indah sesuai dengan statusnya sebagai kawasan tarikan pelancong terkenal di Kuala Kangsar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Program Moh Kuale Bersih di Dataran Lembah Kuala Kangsar pada Rabu. Majlis itu dirasmikan oleh Penyelaras DUN Manong, Dr. Hashim Bujang yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.
Menurut Zulkarnain, penjagaan kebersihan amat penting bagi memastikan seluruh kawasan dataran berkenaan sentiasa menarik untuk dikunjungi.
Justeru itu, katanya, kerjasama orang ramai dan masyarakat amat diperlukan dalam membantu usaha pihak MPKK bagi memastikan seluruh kawasan dataran sentiasa bersih dan terjaga.
Sehubungan itu, kata beliau, pihak MPKK akan menjalankan penguatkuasaan dimana pada peringkat awalnya memberi kesedaran kepada orang ramai terutama pengunjung pentingnya menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah sarap di merata tempat.
“Langkah seterusnya kita akan mengeluarkan saman kepada pelaku yang ingkar kerana membuang sampah di merata tempat sesuka hati di kawasan dataran,” katanya.
Terdahulu, Dr. Hashim dalam sidang media yang sama turut mecadangkan agar dataran itu sentiasa diceriakan dengan pelbagai aktiviti menarik serta program komuniti yang berlandaskan ciri-ciri kesenian dan kebudayaan.
Katanya, selepas Kuala Kangsar, program yang sama akan turut dijalankan di semua daerah di negeri ini sebagai persiapan rakyat menyambut Tahun Melawat Malaysia 2020.