Yunus Bidas Kenyataan Laksamana Imran Cadang Wujudkan Undang-undang Gangguan Seksual

Reading Time: < 1 minute

ADUN Kuala Kurau dari PKR, Abdul Yunus Jamhari dalam satu kenyataan media hari ini membidas kenyataan yang dikeluarkan oleh Senator Laksamana Hj. Mohd Imran Abd. Hamid supaya diadakan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki dari tergoda dan terjebak dalam jenayah seksual.

Abdul Yunus dalam kenyataan itu yang mendakwa mengenali Hj. Imran sejak 7 tahun lalu sebagai bekas pimpinan kanan MPN Perak berkata beliau gagal memahami dan menjiwai roh perjuangan reformasi dan keadilan.

“Mungkin doktrin parti lama beliau sebelum ini begitu menebal,” menurut kenyataan itu.

Yunus juga menyarankan beliau sebagai bekas pegawai tinggi TLDM menjuarai isu-isu lain yang lebih relevan seperti isu keselamatan dan pertahanan, pencerobohan perairan negara, aset-aset ketenteraan yang usang serta kebajikan anggota tentera.

Laksamana Hj. Imran semasa Pilihan Raya ke-14 bertanding di DUN Bukit Chandan, Kuala Kangsar tetapi tewas kepada calon BN. Jika menang, ura-ura mengatakan beliau mungkin dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

Abdul Yunus dalam kenyataan yang sama turut menyatakan simpati terhadap Hj. Imran kerana melalui pengalaman pahit di mana 4 orang anak perempuannya terkorban dalam satu kemalangan jalanraya di Gerik pada 2005.

Dalam perkembangan terbaru pagi ini seperti yang dilaporkan oleh portal Malaysiakini, Hj. Imran telah menarik semula kenyataan beliau dan berkata niatnya ikhlas tapi tidak menyangka telah menyinggung perasaan ramai pihak.