Dr Zambry Berbohong Kepada Rakyat Perak- YB Chong Zhemin

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Perak, Chong Zhemin mendakwa Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berbohong kepada rakyat Perak kononnya akaun Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) telah diaudit pada hal ia tidak pernah dibuat sejak diaktifkan bermula 2012 hingga 2018.

Menurut Chong, akaun anak-anak syarikat MB Inc. seperti Amanjaya Natural Resources, Amanjaya Properties Venture, Amanjaya Trading Venture, Amanjaya Leisure and Hospitality dan Amanjaya Global telah diaudit bermula 2012.

“Manakala bagi akaun Pengurusan Pasir Perak (3P), ini juga anak syarikat telah diaudit bermula 2014.

“Yang penting di sini, akaun Perbadanan Menteri Besar pula tidak pernah diaudit sejak tahun 2012…oleh itu pihak pengurusan yang baru telah mengambil inisiatif dalam memulakan proses audit keatas akaun MB Inc. dan proses audit tersebut telah dijalankan pada September 2018.

“Bermakna sejak 2012 sampai 2018 tak pernah ada apa- apa audit dilakukan terhadap MB Inc.

“Saya kata di sini diluar Dewan, Adun Pangkor bohong…ini media boleh lapor, saya berani, saya tunggu dia jawab ada tak akaun MB Inc. diaudit?

“Ini soalan sangat mudah..kalau tahu cakap tahu, kalau ada cakap ada…tak ada cakap tak ada, kalau soalan yang semudah ini dia (Dr Zambry) tak boleh nak jawab, saya rasa tak hairanlah dia takut kepada pendengaran awam.

“Kalau tak tukar kerajaan kita tak tahu MB Inc. tidak pernah diaudit sejak 2012 sampai ke hari ini …sudah enam tahun tidak pernah diaudit langsung.

“Betul, anak syarikat diaudit tapi syarikat induk (parent company) MB Inc. sendiri tak pernah diaudit…tanah diberi bukan kepada anak syarikat…dibagi terus kepada MB Inc.

“Jadi MB Inc. belum diaudit,” katanya yang juga Adun Keranji kepada pemberita di bilik Media Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa. Hadir sama Pengerusi PAC Perak, Leong Cheok Keng yang Adun Malim Nawar dan Adun Pasir Bedamar, Terance Naidu.

Sebelum ini bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bertindak keluar meninggalkan Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) kerana membantah sesi pendengaran itu diadakan secara terbuka.

Dr Zambry bertindak keluar sebelum soalan dikemukakan pada sesi pendengaran yang diadakan di bilik mesyuarat korporat Bangunan Perak Darul Ridzuan. Beliau bertindak demikian selepas Pengerusi PAC Perak, Leong Cheok Keng menyatakan PAC kekal dengan pendirian mahu sesi pendengaran itu diadakan secara terbuka.

Zambry dalam penjelasannya berkata, sesi pendengaran awam itu tidak dijalankan mengikut tatacara dan amalan biasa PAC Perak kerana di Parlimen sendiri tidak dibuat sesi pendengaran awam tersebut.

“Oleh itu saya mengikut amalan di Parlimen sebagai panduan dan saya tidak bersetuju sesi pendengaran ini diadakan secara terbuka.” katanya.

Leong bagaimanapun mengarahkan Zambry kekal dan menjawab soalan-soalan yang akan dikemukakan PAC. Katanya, tindakan Dr Zambry keluar daripada sesi pendengaran itu dianggap sebagai menghina PAC.

Dr Zambry menjawab beliau kekal dengan keputusannya dan menganggap tindakannya bukan menghina PAC.