Dr Zambry Bertindak Keluar Sesi Pendengaran Awam PAC…bantah sesi diadakan secara terbuka

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bertindak keluar meninggalkan Sesi Pendengaran Awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) kerana membantah sesi pendengaran itu diadakan secara terbuka.

Dr Zambry bertindak keluar sebelum soalan dikemukakan pada sesi pendengaran yang diadakan di bilik mesyuarat korporat Bangunan Perak Darul Ridzuan. Beliau bertindak demikian selepas Pengerusi PAC Perak, Leong Cheok Keng menyatakan PAC kekal dengan pendirian mahu sesi pendengaran itu diadakan secara terbuka.

Zambry dalam penjelasannya berkata, sesi pendengaran awam itu tidak dijalankan mengikut tatacara dan amalan biasa PAC Perak kerana di Parlimen sendiri tidak dibuat sesi pendengaran awam tersebut.

“Oleh itu saya mengikut amalan di Parlimen sebagai panduan dan saya tidak bersetuju sesi pendengaran ini diadakan secara terbuka.” katanya.

Leong bagaimanapun mengarahkan Zambry kekal dan menjawab soalan-soalan yang akan dikemukakan PAC. Katanya, tindakan Dr Zambry keluar daripada sesi pendengaran itu dianggap sebagai menghina PAC.

Dr Zambry menjawab beliau kekal dengan keputusannya dan menganggap tindakannya bukan menghina PAC.

“Saya hadir pada hari ini dan saya tidak hina jawatankuasa ini … Kehadiran saya ini sebagai membantah tatacara dan amalan jawatankuasa PAC ini.

Menurut Dr Zambry lagi, beliau bersedia memberi kerjasama dan menjawab soalan-soalan yang dikemukakan jika jawatankuasa membuat sesi pendengaran itu mengikut tata cara dan amalan biasa.

Leong semasa bercakap dalam sidang media berkata, PAC menyerahkan kepada Speaker dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengambil tindakan selanjutnya berhubung tindakan Dr Zambry itu.

Turut hadir bersama Dr Zambry ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) Datuk Aminuddin Hashim.

Sesi Pendengaran Awam PAC pagi tadi dihadiri lima ahli PAC manakala dua lagi ahli daripada BN iaitu ADUN Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul dan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim tidak hadir.