MB Perak Digesa Mohon Maaf Tarik Balik Kenyataan Hina Masyarakat Orang Asli

Reading Time: 6 minutes

IPOH: Ribuan masyarakat orang asli di negeri ini menggesa Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon maaf dan menarik balik kenyataan `keras’nya yang dianggap menghina kaum pribumi itu.

Aktivis dan Pengasas Koperasi Pembangunan orang asli, Datuk Ramesh Arumugam Chettiar menyifatkan kenyataan Ahmad Faizal bahawa masyarakat orang asli jangan harapkan bantuan darinya dan kerajaan Pakatan Harapan sebagai satu kenyataan berunsur sadis, angkuh, penghinaan dan tidak bertanggungjawab.

“Masyarakat orang asli di seluruh negeri Perak merasakan kenyataan MB Perak itu satu bentuk penghinaan dan bertujuan untuk memalukan masyarakat pribumi di negeri Perak dan Malaysia secara amnya.

“Orang asli tidak pernah menjadi pengemis untuk sebarang bentuk bantuan kerajaan ataupun sebarang bentuk bantuan daripada Ahmad Faizal.

“Malah selama-lamanya tidak pernah ada orang asli yang menjadi pengemis jalanan … Jangan menghina masyarakat orang asli sebegini rupa, dengan kenyataan yang berunsurkan niat untuk memalukan masyarakat orang asli di Perak dan Malaysia,’’ katanya dalam satu kenyataan kepada Independent.my pada Ahad.

Datuk Ramesh Chettiar

Ramesh berkata, persoalannya mengapakah Menteri Besar Perak membuat kenyataan sebegini, di waktu Pakatan Harapan menjanjikan “Malaysia Baru’?

“Berapa banyak bantuan yang telah dimohon oleh puluhan ribu orang asli di seluruh negeri Perak kepada beliau sehingga hari ini?

“Sebagaimana saya dimaklumkan oleh berpuluh Kampung orang asli di negeri Perak, sehingga hari ini, tiada’’!

“Terutamanya adakah sebarang permohonan bantuan untuk masyarakat orang asli di DUN Chenderiang, Tapah (DUN yang diwakili MB Perak), yang mempunyai 24 peratus pengundi orang asli dan 45 kampung keseluruhannya.

“Sebagaimana saya dimaklumkan, tiada apa-apa yang diminta oleh masyarakat orang asli kepada beliau setakat ini, cuma yang dimohon adalah isu warta tanah dan kemudahan asas sebagaimana tertakluk di dalam manifesto Buku Harapan (PH) yang telah dijanjikan kepada rakyat Perak.’’ Katanya.

Ramesh menegaskan setakat ini masyarakat orang asli di Perak tidak merasakan kepimpinan Ahmad Faizal boleh membawa perubahanyang sangat-sangat diharapkan atau kehidupan yang lebih baik dibandingkan pemerintahan 61 tahun di bawah Barisan Nasional (BN).

Beliau seterusnya menyentuh di waktu majlis berbuka puasa di Hutan Lipur Kinjang, Tapah (31 Mei 2018), Ahmad Faizal telah mengeluarkan satu kenyataan sinis, (Sinar Harian, 1 Jun 2018) yang berniat untuk memalukan sentimen orang asli di Tapah, dimana beliau telah berkata bahawa “jangan harapkan saya akan wartakan tanah untuk orang asli daripada Tapah ke Ringlet (Cameron Highland).

“Persoalannya, bila masa masyarakat orang asli memohon daripada beliau untuk warta tanah sebegitu luas?

“Tidak pernah ada sebarang permohonan sebegitu rupa sehingga hari ini … Jadi mengapakah Ahmad Faizal menghina orang asli apabila menerajui kepimpinan negeri Perak selepas PRU-14?

“Kedua, Ahmad Faizal (Independent 25 Ogos 2018) ada mengatakan beliau ingin tinggal di dalam hutan untuk menyelami sendiri kehidupan orang asli.

“Kenyataan daripada beliau ini adalah satu bentuk kenyataan yang tidak masuk akal … Yang hidup di dalam hutan adalah monyet, gajah, harimau dan lain-lain binatang buas dan bukannya orang asli.

“Masyarakat ini hanya tinggal di pinggir kawasan hutan dan bukan dalam hutan … Apakah niat sebenar beliau mengungkap kenyataan sebegini rupa?’’ katanya.

Menurut Ramesh, Ahmad Faizal perlu membaca sedikit buku dan laporan Suhakam mengenai kehidupan orang asli sebelum membuat kenyataan sebegini melulu dan angkuh.

Beliau juga membangkitkan kes rekahan tanah di Kampung Pawong, Simpang Pulai pada 23 Oktober 2018. Sehingga hari ini masyarakat di kawasan ini masih tiada air minuman air bersih dan masih tiada sebarang dialog bersama Menteri Besar atau wakil kerajaan negeri untuk berbincang berkenaan masa depan penduduk di kawasan kampung berkenaan.

“Adakah mereka perlu pindah atau ambil risiko tinggal di atas tapak retakan (rekahan) tanah tersebut.

“Walaupun sebulan kes retakan tanah tersebut diketahui jutaan rakyat akan tetapi Ahmad Faizal seolah-olah tidak tahu apa yang berlaku di negeri sendiri yang mana beliau sendiri menjadi MB.

“Air minuman harian yang sangat diperlukan oleh masyarakat orang asli di sini masih tidak disediakan sehingga hari ini oleh YAB Menteri Besar mahupun kerajaan Pakatan Harapan Perak.

“Masyarakat di sini hidup bergantung kepada air hujan sahaja sehingga ke hari ini … Sungai yang berhampiran tidak sesuai diguna pakai untuk air minuman disebabkan ianya bercampur racun daripada kebun sayuran Cameron Highland.

Ramesh turut membangkitkan isu masalah pembangunan Hydro oleh Perak Hydro Renewable Energy Corporation atau PHREC di seluruh negeri Perak.

Menurut Ramesh, sebelum PRU14, Ahmad Faizal telah diberi maklum oleh beliau mengenai segala bentuk permasalahan dan salahguna kuasa oleh kepimpinan sebelum ini dan orang-orang ternama di dalam syarikat ini (saya adalah bekas COO PHREC).

“Beliau telah berjanji akan menghentikan projek ini sekiranya PH menang dan memerintah … Hari ini sudah hampir 7 bulan PH memerintah, projek ini masih diteruskan dan tiada sebarang audit yang dibuat untuk memastikan pembangunan projek ini mematuhi piagam undang-undang negeri dan negara disamping untuk memastikan projek ini tidak menghancurkan kehidupan sederhana masyarakat orang asli di Perak.

“Manifesto PH Pusat (Buku Harapan) dan negeri Perak tidak satu pun diambil serius oleh beliau,’’ ujarnya.

Ramesh juga menyentuh isu pajakan tanah 999 tahun yang dijanjikan oleh Ahmad Faizal sendiri tidak diselesaikan sehingga ke hari ini.

“Walaupun sebelum ini ada timbul salah faham di antara beliau dan seorang Exco kanan berhubung perkara ini akan tetapi sehingga hari ini tiada sebarang penjelasan diberikan kepada rakyat Perak.

“Malah pernah beliau mengajak rakyat Perak, Gagasan Melayu Perak (GMP) untuk menyaman kerajaan beliau sekiranya tidak berpuas hati dengan kepimpinannya.

“Belum pernah ada seorang pemimpin negeri atau negara ini yang mencabar rakyatnya menyaman kerajaan kepimpinannya …walau yang salah adalah beliau sendiri dengan keputusannya untuk tidak mematuhi janji Pakatan Harapan.

“Pembalakan yang masih berleluasa sehingga hari ini di negeri Perak ianya bertentangan dengan manifesto PH untuk memastikan alam sekitar dipelihara dan sebarang bentuk pembalakan akan dikawal,’’ katanya.

Ramesh turut mendedahkan di Kampung Pos Ralak (Pos Kemar, Grik), masyarakat orang asli di kawasan kampung berkenaan sudah mendirikan blockade (mereka sudah hilang kepercayaan kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Masyarakat di tapak ini tiada air minuman bersih disebabkan hancurnya sungai akibat aktiviti pembalakan dan ketiadaan makanan asas dengan lupusnya kawasan hutan.

“Mengapakah YAB MB Perak tidak mengarahkan Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengaliran dan Saliran dan Jabatan Perhutanan Negeri, JAKOA, SPRM untuk meninjau sendiri untuk proses audit dan memastikan pembalakan yang dilakukan kononnya telah diluluskan oleh pemerintah yang dahulu daripada BN diteruskan tetapi bersesuaian dengan manifesto PH dan tidak bertentangan dengan undang-undang negeri.

“Sehingga hari ini beliau sendiri tidak turun padang untuk meninjau kerakusan aktiviti pembalakan ini,’’ katanya.

Ramesh seterusnya menegaskan masyarakat orang asli di sini telah membuat keputusan sudah tiba masanya untuk mereka membela kehidupan dan hak mereka sendiri tanpa mengharapkan kepimpinan YAB Menteri Besar Perak.

Beliau juga membangkitkan isu masyarakat orang asli di Kuala Mu, Sungai Siput yang telah bersusah payah mendirikan chalet untuk mereka meraih pendapatan kecil telah dibinasakan matlamat perjuangan mereka apabila pembalakan di luluskan di tapak berhampiran kampung berkenaan.

Katanya, Jabatan Perhutanan pula bertindak menutup jalan ini dan meminta sesiapa yang hendak masuk dan guna pakai jalan ke Pos Kemar untuk memohon permit masuk hutan di pejabat Jabatan Hutan Kuala Kangsar dengan bayaran RM10 (jauhnya hampir 70 km).

“Ahmad Faizal pula berkata, bahawa beliau tidak akan membantu orang asli selagi mereka tidak membantu diri mereka sendiri.

Perhutanan Perak membuat ‘blockade’ di jalan masuk menuju ke Kuala Mu

“Di Kampung Pos Kuala Mu bukankah masyarakat ini telah mampu berdikari dengan sendiri tanpa sebarang sedekah daripada kerajaan Ahmad Faizal? Mereka tidak meminta sebarang bantuan daripada MB Perak … tetapi Jabatan Hutan yang sememangnya di bawah bidang kuasa MB telah dengan niat untuk memastikan penduduk orang asli terjerumus dalam kemiskinan dengan mendirikan sekatan jalan berhampiran kampung mereka.

“Bukamkan tanggungjawab seorang Menteri Besar untuk memastikan kehidupan penduduk di negeri yang diketuainya menjadi lebih produktif daripada yang dialami sebelum ini (kerajaan BN) dan selari dengan intipati perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamed Perdana Menteri kita?

“Kami mencabar Ahmad Faizal untuk mengungkap kenyataan yang sama kepada masyarakat orang Melayu, Cina ataupun India di negeri Perak … Kalau beliau berani dan anak jantan.

“Jangan menghina lagi orang asli Perak … Kemenangan Ahmad Faizal dengan hanya 39 undi di DUN Chenderiang pada 9 Mei 2018 adalah sedekah undi orang asli … tetapi selepas mendapat kuasa beliau kerap kali menghina masyarakat Pribumi Malaysia.

“Adakah kepimpinan Pakatan Harapan negara akan tetap mendiamkan diri?

“Mengapa perlu dibiarkan kuasa pemerintahan seorang MB yang hanya ada 1 kerusi (PPBM) di negeri Perak masih diteruskan?

“Tiadakah calon lain yang lebih sesuai untuk menerajui negeri Perak … Akurlah dan turuti janji Tun Dr Mahathir dan manifesto Pakatan Harapan untuk membantu membangunkan kehidupan sederhana masyarakat orang asli di negeri dan negara ini.

“Hentikan sebarang bentuk ungkapan yang bertahtakan rasis dan tidak bertanggungjawab … Ahmad Faizal harus dinasihati bahawa orang asli negara ini adalah Bumiputera dan Pribumi sebenar’’ tegas Ramesh.