Dua Ketua Bahagian Bersatu Respon Terhadap Tuduhan Syed Razif Isu Kontrak MARRIS

  • 2
  •  
  •  
Reading Time: 2 minutes

Selepas seorang ahli PPBM, Syed Razif Syed Rabii membuat dakwaan kerajaan negeri memberi kontrak penyelenggaraan jalan raya kepada sebuah syarikat tanpa melalui tender terbuka, tampil 2 ahli parti itu mengeluarkan kenyataan balas bagi menjawab tuduhan Syed Razif.

Ketua Penerangan Bersatu Negeri Perak, Mohader Ahmad bin Mohd Ayob berkata, tuduhan Syed Razif adalah satu andaian liar tanpa bersandarkan kepada sebarang bukti.

Tambahnya, bagi pihak kepimpinan Bahagian Bersatu negeri Perak, mereka menyokong usaha kerajaan negeri melakukan perubahan bagi meningkatkan kualiti sistem penyelenggaraan jalan raya demi kepentingan rakyat dan memberi keadilan kepada kontraktor berkelayakan.

Katanya lagi, hampir setiap hari wujud aduan tentang kualiti penyelenggaraan jalan raya di bawah pentadbiran Barisan Nasional dahulu dan kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan yang tepat untuk melantik syarikat konsesi yang berkemampuan untuk menguruskan peruntukan MARRIS secara lebih cekap, jimat di samping meningkatkan kualiti menggunakan teknologi terkini.

“Pihak berkuasa tempatan dapat memantau kualiti jalan raya dan tidak perlu lagi memantau setiap kontraktor kerana tanggungjawab itu terletak di bawah syarikat konsesi. Rata-rata kontraktor yang rapat dengan kepimpinan UMNO/BN memegang 10, 20 malah mencecah ratusan lesen mengakibatkan agihan kontrka berlegar di kalangan mereka manakala kontraktor yang tidak menyokong UMNP/BN tidak mendapat peuang walaupun layak,” menurut kenyataan itu.

“Syed Razif dipergunakan pihak lain yang tak berani tampil ke depan..saya yakin ada tangan-2 tersembunyi di belakang beliau,” kata Mohader yang juga Ketua Bahagian Batu Gajah.

Menurut Ketua Bahagian Lumut, Kdr (B) Nordin bin Ahmad Ismail, beliau mencabar Syed Razif membuktikan proses lantikan syarikat yang didakwa sebagai suatu penyelewengan itu telah mengakibatkan peningkatan kos penyelenggaraan MARRIS.

Katanya, jika Syed Razif gagal membuktikannya, bermakna dakwaan beliau adalah suatu agenda peribadi untuk merosakkan imej kerajaan negeri dan Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Faizal semata-mata.

“Justeru, Syed Razif wajar menarik balik dakwaannya atau perlu bersedia untuk berdepan dengan tindakan undang-undang oleh pihak-pihak yang difitnahnya.,” kata Nordin.

Nordin menyatakan kemusykilannya tentang niat sebenar Syed Razif membangkitkan dakwaan yang tidak berasas.

“Adakah dia cuba mencari publisiti murahan? Adakah dia layak bercakap sebagai ahli Bersatu atau cuba menggunakan nama Bersatu untuk bersuara bagi pihak kontraktor mesra UMNO/BN yang kini kehilangan arah kerana tidak mampu bersaing secara sihat dalam perniagaan?,” soal Nordin.