Ekonomi Perak Mampu Saingi Selangor, Pulau Pinang Jika Saya Kekal MB Pada 2008 – DS Nizar

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Dato Seri Mohamad Nizar Jamaluddin mendedahkan, ekonomi negeri mampu menandingi atau berada pada tahap lebih baik berbanding Selangor dan Pulau Pinang sekiranya beliau terus kekal mentadbir Perak atau berlaku pertukaran kuasa di peringkat Pusat pada 2008.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri mendakwa semasa kerajaan negeri waktu itu (Pakatan Rakyat) mentadbir, tidak ada kerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

Mohamad Nizar mendakwa, pelan pembangunan negeri pula tidak mendapat sokongan atau kerjasama daripada kerajaan Pusat.

“Tidak ada sokongan dan kerjasama daripada kerajaan Pusat,” katanya semasa berucap pada Forum Industial Park, ‘Strengthening the manufacturing Ecosystem’ di sebuah hotel terkenal di Ipoh pada khamis. Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Mohamad Nizar menjadi Menteri Besar Perak pada 2008 sebelum kerajaan pimpinannya yang berusia 11 bulan tumbang selepas diambil alih kerajaan Barisan Nasional (BN).

Susulan kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 Mei tahun ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia Perak, Ahmad Faizal Azumu telah dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke 12.

Menurut Mohamad Nizar, sejak memegang jawatan Exco Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, beliau menerima kunjungan sekurang-kurangnnya lima pelabur setiap hari.

“Kita (kerajaan negeri) menyakinkan pelabur-pelabur ini bahawa tiada kekangan, tiada rasuah dan lain-lain elemen negatif berlaku apabila mereka berurusan dengan kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita mahu menjadikan Perak sebuah negeri yang hebat kembali,” ujarnya.