Perak Tiada Kompromi Isu Pencerobohan Tanah – Sivanesan

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Kerajaan Perak tidak akan berkompromi dalam isu pencerobohan tanah secara haram oleh mana-mana pihak termasuk individu kerana ia akan merugikan kerajaan negeri.
Justeru itu Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A Sivanesan berkata, pencerobohan tanah kerajaan harus dibanteras dengan tegas.

Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri mengarahkan Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini memantau tanah-tanah kerajaan yang diceroboh untuk tujuan pertanian.

“Apabila berlaku pencorobohan, pihak pejabat tanah harus mengeluarkan notis dengan segera, kalau mereka enggan keluar juga, mereka boleh keluarkan notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara melalui kebenaran Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Mereka mesti menghentikan pencerobohan tanah ini dan pada masa sama kenalpasti mereka yang benar-benar petani dan kerajaan negeri akan mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perbincangan masalah pengurusan di kawasan Little India Ipoh di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh pada Rabu.

Menurut Sivanesan, berdasarkan semakan yang dibuat, mereka yang menceroboh tanah kerajaan itu bukan semua terdiri daripada petani di kawasan tersebut tetapi terdapat sindiket tertentu dari luar yang mempergunakan penduduk.

Beliau berkata, merujuk kepada masalah petani di Kampung Baru Kuala Bikam, isu yang dibangkitkan bukanlah baharu tetapi sudah diketahui sejak 2004 lagi.

“Kita sudah mengadakan beberapa perbincangan untuk menyelesaikan isu ini malah saya sendiri pernah membawa perkara ini ke mahkamah membantu petani ini mendapatkan hak mereka tanpa membayar sesen pun.

“Pada saya yang keluarkan kenyataan ini tak tahu fakta kerana kontrak bagi kerja pengambilan pasir di kawasan itu dipersetujui ketika zaman kerajaan terdahulu. Jika kontrak ini dibatalkan kerajaan terpaksa bayar pampasan kepada pengusaha,” katanya.

Semalam, seramai kira-kira 40 penduduk Kampung Baru Kuala Bikam, Bidor mengadakan demonstrasi aman meminta campur tangan kerajaan negeri terhadap isu pencemaran dipercayai akibat kerja-kerja mengambil pasir berhampiran kawasan tersebut.

Satu memorandum mengenai isu tersebut turut dihantar ke Pejabat Menteri Besar Perak oleh wakil penduduk. 

Sivanesan yang juga ADUN Sungkai berkata, petani yang terlibat di kawasan Kampung Baru Kuala Bikam itu tidak sampai 600 orang kerana sebelum ini petani tulen yang dikenalpasti hanya 28 hingga 30 orang sahaja.

“Minggu lepas kita adakan mesyuarat bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang di pejabat saya tetapi yang datang hanyalah wakil tiga orang.

Jika benar-benar petani mahukan pertolongan kerajaan negeri, mereka perlu bersemuka untuk kita tentukan sama ada kelulusan boleh diberikan atau tidak,” katanya.

Menurut Sivanesan, kerajaan negeri tiada masalah untuk memberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) kepada petani untuk mengusahakan tanaman sayur-sayuran asalkan mereka benar-benar petani di kawasan itu.