Enam Peniaga Makanan Hilang Punca Pendapatan Minta Campur Tangan Menteri Besar

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Seramai enam peniaga makanan yang berniaga di kawsasan depan Masjid Muhibbuddin Shah, Jalan Hospital di sini hilang punca pendapatan apabila mereka dilarang berniaga oleh pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sejak tiga hari lalu.

Mereka yang sudah berniaga di kawasan itu selama 15 tahun menzahirkan rasa amat kecewa dengan tindakan kakitangan bahagian penguatkuasa MBI kerana merampas segala peralatan perniagaan tanpa memberikan sebarang notis terlebih dahulu.

Lebih malang lagi mereka turut dikenakan saman kompaun sebanyak RM450 oleh pihak MBI atas alasan mengganggu lalu lintas.

Menurut seorang peniaga nasi campur, Ahmad Safian Malik, 41, beliau yang sudah berniaga di situ selama 15 tahun mendakwa terpaksa menganggur kerana hilang punca mata pencarian gara-gara tindakan kakitangan penguatkuasa MBI.

“Saya merasa amat sedih kerana kini terpaksa menganggur sedangkan saya mempunyai isteri dan anak-anak yang perlu saya tanggung.
“Yang menghairankan sudah 15 tahun lamanya saya berniaga nasi campur di situ kenapa pula baru tiga hari lalu pihak MBI melarang saya berniaga?
“Sudahlah barang-barang peralatan saya dirampas saya juga dikenakan saman kompaun sebanyak RM450 tanpa diberi sebarang notis terlebih dahulu,’’ katanya kepada Independent.my pada Selasa.

Sehubungan itu Ahmad Safian meminta jasa baik Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu campur tangan berhubung masalah yang beliau hadapi bersama rakan peniaga yang lain.

Katanya, beliau serta peniaga terbabit hanya meminta kelonggaran dibenarkan berniaga sehari empat jam sahaja di kawasan itu dan tidak lebih daripada itu.

“Saya memilih lebih selesa berniaga di situ kerana selama ini ramai pelanggan saya terdiri daripada kakitangan hospital dan pelatih UniKL dan harga jualan makanan yang dikenakan berpatutan dan murah iaitu hanya RM5.00 berbanding di tempat lain,’’ kata Ahmad.

Seorang peniaga cendol, Sabri Hassan, 52, turut menzahirkan rasa amat terkejut kerana tidak dibenarkan lagi berniaga di kawasan berkenaan.

“Sudah lebih 15 tahun saya meniaga cendol kenapa pula kelmarin pihak MBI melarang saya berniaga sehingga menyebabkan saya hilang punca mata pencarian.
“Saya mempunyai anak yang masih belajar di pusat pengajian tinggi tapi malang hari ini sudah menjadi seorang penganggur kerana hilang punca pendapatan kerana tidak dibenarkan lagi berniaga di situ.

Banner melarang berniaga di kawasan tersebut
Banner melarang berniaga di kawasan tersebut

“Saya amat mengharapkan Menteri Besar dapat campur tangan bagi menyelesaikan masalah saya bersama rakan peniaga lain di sini,’’ katanya.

Menurut Sabri beliau juga menyokong cadangan rakannya Ahmad Safian supaya mereka diberi kelonggaran untuk berniaga selama empat jam sahaja di situ dengan penuh harapan sekurang-kurangnya dapat beroleh pendapatan seharian untuk menanggung keluarga.