MB Sangkal Kenyataan Saarani Bersatu Perak Akan Dibubar

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menyangkal kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mengatakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak akan dibubarkan kerana didakwa berdepan masalah.

Katanya, kenyataan Saarani yang mendakwa Bersatu Perak mengalami nasib serupa seperti Bersatu Negeri Sembilan adalah tidak benar. Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak menjelaskan partinya dan juga Pakatan Harapan (PH) Negeri tidak mengalami sebarang masalah malah hubungan sesama ahli parti mahupun rakan-rakan komponen tetap mantap sehingga kini.

Katanya, masalah yang dihadapi Bersatu Negeri Sembilan sehingga menyebabkan ia terpaksa dibubar oleh Presiden parti tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada langsung kaitannya dengan di Perak.
Ahmad Faizal berkata beliau sangat mengkagumi keupayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan itu dalam memberi ramalan serta firasat kepada parti lain.

“Masalah Bersatu di Negeri Sembilan itu tidak ada kena mengena. Malah dia pun tidak tahu cerita sebenar. Tak tahulah jika dia sudah masuk Bersatu, atau berminat nak masuk Bersatu.

“Jika berminat, cakap terang-terang, kami boleh beri borang. Dia ada nombor telefon saya, boleh hubungi saya. Kita terima orang yang ‘tersasar’ dan hendak ‘kembali ke pangkal jalan’. Kita mengamalkan politik kasih sayang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sekali lagi bertegas menyeru semua pihak agar segera menghentikan sebarang isu politik dan turun bersama-sama kerajaan negeri bagi membantu membangunkan sosio ekonomi rakyat.

Menurut Ahmad Faizal, kerajaan negeri pimpinan PH kini memberi fokus kepada pembangunan negeri dan penyelesaian kepada sebarang masalah rakyat selain tidak terlalu berminat untuk berpolitik.

“Kita kini harus fokus kepada usaha pembangunan negeri, memajukan ekonomi negeri, menaik taraf sosio ekonomi rakyat dan sebagainya.
“Bab politik ini, kita tunggu dahulu. Nak hampir dengan Pilihanraya Umum nanti, kita berpolitik balik,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset ke pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.