Kerajaan Perak Sumbang RM500,000 Kepada Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Permohonan barisan ahli jawatankuasa Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Kampung Sungai Rokam untuk mendapatkan dana bagi kerja-kerja hiasan dalaman masjid beberapa bulan lalu akhirnya dipenuhi kerajaan negeri Perak.

Sumbangan dana yang diterima berjumlah RM500,000 dan majlis penyerahan dana telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu selepas beliau bersama jemaah masjid menunaikan solat Maghrib.

Hadir sama di majlis itu, Exco Kerajaan negeri, YAB Dato’ Seri Nizar Jamaludin yang juga Adun Sungai Rapat dan Pengerusi Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Adnan Din.
Ahmad Faizal ketika ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, beliau yang membesar di Kampung Sungai Rokam menzahirkan rasa bersyukur kerana dapat menyampaikan sendiri sumbangan itu kepada ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

“Apabila kita melihat bahawa cara pentadbiran kita yang berjimat cermat, dan kita berkemampuan, maka saya meluluskan pemohonan tersebut sepenuhnya, iaitu RM500,000, sebagaimana yang diminta ahli-ahli jawatankuasa masjid,” katanya.

Menurut Ahmad Faizal, permohonan barisan ahli jawatankuasa Masjid Jamek Idris Iskandar Shah I untuk mendapatkan dana telah dibuat kepadanya beberapa bulan yang lalu.

Sementara itu Pengerusi masjid tersebut, Adnan Din berkata, jumlah kos keseluruhan projek pembesaran kawasan masjid bernilai RM3.5 juta manakala sumbangan kerajaan negeri yang diterima pula akan disalurkan untuk kerja-kerja hiasan dalaman.

“Kita mahu menambah kapasiti jemaah masjid daripada 1,200 orang menjadi 1,500 orang jemaah dalam satu-satu masa.
“Ini semua untuk keselesaan jemaah yang melibatkan penduduk Kampung Sungai Rokam dan sekitarnya,” katanya.

Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan yang telah bermula pada awal tahun ini dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2019.