EXCO Paul Yong Bertugas Seperti Biasa Walau Terpalit Dakwaan Rogol

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Exco kerajaan negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong yang terpalit dakwaan rogol bekas pembantu rumahnya hari ini meneruskan tugas seperti biasa di pejabatnya.

Yong tiba di pejabat di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 9.16 pagi berkata kepada media dia akan meneruskan jadual kerjanya seperti biasa.

“Saya tiada apa-apa mengapa saya tak bekerja? Apa yang berlaku kepada saya? Saya masih Exco.

“Siapa pun boleh melontarkan tuduhan, tetapi tuduhan itu kena berasas. Dalam hal ini saya nafi sekeras-kerasnya, saya tak pernah buat apa-apa.

“Saya percaya polis sedang buat siasatan, saya tak boleh komen apa-apa. Masa akan buktikan segala-galanya, itu saja,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, bekas pembantu rumahnya seorang warga Indonesia berusia 23 tahun membuat laporan polis mendakwa beliau merogolnya. Yong berkeras menafikan segala tuduhan yang dibuat dan mendakwa ia semata-mata fitnah oleh bekas pembantu rumahnya itu. 

Mengulas mengenai kenyataan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang berkata dia mungkin akan direhatkan daripada tugasnya buat sementara, Yong menjelaskan itu jika siasatan mengambil masa yang lama.

“Kita kena faham apa yang MB cakap, dia cakap kalau kes ini berlanjutan, ambil masa yang lama mungkin dia nasihatkan saya supaya rehat dulu.

“Itu erti sebenarnya, kita pun tak tahu kes ni boleh berlanjutan berapa lama, kalau betul lanjut lama mungkin dia akan nasihatkan saya, itu saja,” katanya lagi.