[KCR] Masjid Al-Khairiah Batu Kurau Perlu Perhatian Segera

Reading Time: 2 minutes

Kumpulan Cakna Rakyat (KCR) menjelajah sekitar Batu Kurau untuk manikmati durian. Selepas menikmati kelazatan Raja Buah itu, KCR sempat singgah di Masjid Al-Khariah Batu 14, yang terletak tidak jauh dari Pekan Batu Kurau. Agak mengejutkan kami apabila melihat keadaan masjid yang terletak berhampiran Sungai Kurau yang nampak uzur itu. Lokasi masjid bukan sahaja terletak di tepi selekoh jalan utama malah ia betul-betul di tepi tebing sungai.

Dari pemerhatian, keadaan tebing sungai yang mula terhakis sedikit demi sedikit amat membinbangkan. Pada bahagian belakang masjid juga terdapat tanda-tanda yang tebing ini bakal runtuh. Lantai simen yang dibina juga sudah retak dan tidak stabil.

Dari aspek keselamatan, KCR mendapati masjid ini kurang selamat dan sudah tidak sesuai berada di lokasi itu lagi. Tidak mustahil jika tiada tindakan diambil dalam beberapa tahun lagi, bangunan masjid itu bakal ‘terbenam’ di dalam Sungai Batu Kurau. Lebih malang dan menyedihkan, jika semasa kejadian melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.

Selain itu, KCR turut mendapatkan beberapa maklumat berkaitan masjid daripada beberapa orang penduduk di sekitar masjid itu. KCR dimaklumkan masjid ini pernah mendapat perhatian Kerajaan Negeri Perak sebelum PRU14. Namun, tidak diketahui statusnya pada masa kini.

KCR berkesempatan mendapatkan pandangan ADUN Batu Kurau, YB Dato’ Dr Muhammad Amin Zakaria. Beliau mengucapkan terima kasih kepada KCR dan berharap kerajaan memberi perhatian terhadap masalah masjid ini.

“Terima kasih Kumpulan Cakna Rakyat kerana prihatin hal ini. Saya berharap pihak kerajaan dapat turun padang untuk melihat sendiri keadaan masjid dan membantu menyelesaikannya demi keselamatan jemaah”, ujar beliau ringkas.

Beliau turut memaklumkan bahawa lokasi masjid baharu telah pun ada dan berharap pihak kerajaan dapat menyediakan peruntukan bagi tujuan pembinaan sebuah masjid baharu. Justeru, KCR sangat berharap pihak kerajaan dapat mengambil tindakan sewajarnya demi keselamatan dan keselesaan jemaah. Sekalipun DUN Batu Kurau di bawah pembangkang, namun KCR percaya kerajaan baharu akan lebih cakna dan prihatin masalah rakyat sekali pun berbeza ideologi politik.

NOTA
Kumpulan Cakna Rakyat (KCR) terdiri daripada beberapa orang aktivis masyarakat. KCR mengambil inisiatif sendiri untuk membuat tinjauan mengetengahkan permasalahan rakyat kepada pengetahuan pihak Kerajaan Negeri Perak. Individu atau Pertubuhan Kerajaan dialu-alukan untuk mengemukakan permasalahan setempat melalui email kumpulancaknarakyat@gmail.com