Hujan Renyai Tak Halang Lebih 20,000 Penonton Meriahkan Perasmian SUKMA 2018

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Hujan renyai-renyai yang turun sebelum Sukan Malaysia Ke-19 Perak 2018 membuka tirai tidak menghalang lebih 20,000 penonton hadir ke Stadium Perak untuk menyaksikannya dalam suasana penuh meriah.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli untuk merasmikan sukan berprestij itu dengan lafaz perasmian disusuli nyalaan obor berbentuk keris dan persembahan bunga api di dalam stadium.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain. Hadir sama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Persembahan pembukaan Indera Sakti yang melibatkan 700 peserta memukau penonton yang hadir. Pembukaan rasmi sukan itu bermula dengan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen negeri-negeri membabitkan 7,464 atlet dan pegawai daripada 15 kontinjen dengan didahului kontinjen Sarawak yang juga tuan rumah SUKMA Ke-18 dua tahun lalu.
Perak selaku tuan rumah menghantar kontinjen terbesar dengan 587 atlet diikuti Sarawak (553), Selangor (543), Terengganu (542), Wilayah Persekutuan (532), Johor (495), Pulau Pinang (483), Kedah (464), Pahang (440), Sabah (416), Negeri Sembilan (411), Melaka (376), Kelantan (288), Perlis (280) dan Brunei (34).

SUKMA Perak 2018 merupakan penganjuran kali kedua tuan rumah sejak menganjuran pertamanya pada 1994. Temasya yang berlangsung dari 12 hingga 22 September ini menawarkan 427 pingat emas membabitkan 29 jenis sukan dan 39 venue di 12 daerah seluruh Perak.