IPOH: Momentum baik yang dipamirkan pasukan wanita badminton Perak semalam diteruskan hari ini, ketika beraksi menentang Johor dalam acara Badminton Wanita Kumpulan A, Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 di Arena Badminton Perak, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Pemain perseorangan tuan rumah, Lee Ying Ying mengorak langkah kanan apabila dengan mudah menundukkan wakil lawan, Tan Min Er dengan kutipan mata 21-10 dan 21-11.
Percubaan pasukan beregu Perak, yang diwakili Desiree Siow Hao Shan dan Lee Ying Ying pada set pertama gagal apabila Johor berjaya memungut mata 21-14. Namun, Hao Shan dan Ying Ying kemudiannya bangkit beraksi dan seterusnya berjaya menghadiahkan kemenangan kepada Perak pada set kedua dan ketiga yang masing-masing dengan mata 21-19 dan 21-13.
Di gelanggang yang sama, pemain perseorangan Perak, Eoon Qi Xuan juga menang dengan selesa apabila berjaya menandingi wakil Johor, Myisha Mohd Khairul dengan kutipan mata 21-10 dan 21-11. Qi Xuan kemudiannya berganding dengan Valeree Valeree Sio Zi Xuan dalam acara beregu menentang lawan yang diwakili Go Pei Kee dan Hoe Shi Yun.
Walaupun permainan agak sengit, namun, Perak berjaya menafikan kemenangan Johor apabila memungut mata 21-18 di set pertama dan kedua. Pemain perseorangan Johor, Yap Yee menjadi pemain tunggal perlawanan yang memberi mata kepada kepada negerinya apabila dengan selesa menguasai gelanggang mengatasi wakil tuan rumah, Nur Ernisa Alya Zainal Abidin dengan pungutan mata 21-18 dan 21-13