Lat, Ahmad Awang Terima Anugerah Tokoh Sempena Sambutan Maal Hijrah

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Kartunis terkenal tanah air, Datuk Mohammad Nor Khalid atau dikenali sebagai Lat menerima anugerah tokoh sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeriĀ  Perak hari ini.

Turut menerima anugerah yang sama Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang. Masing-masing menerima wang tunai RM10,000, pakej umrah, medal, hadiah iringan, plak dan sijil.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menyampaikan anugerah tersebut. Turut berangkat , Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Lat, 67, yang terkenal dengan karya Kampung Boy diumumkan sebagai Tokoh Ar Ridzuan manakala Ahmad, 82, anak jati Semanggol yang juga Timbalan Pengerusi Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia cawangan Malaysia dinobatkan Tokoh Maal Hijrah.

Lat yang juga anak kelahiran Kampung Lalang, Gopeng menerbitkan lebih 20 jilid kartun sejak berusia 13 tahun sehinggakan karya Kampung Boy yang diterbitkan pada 1979 membawa nama Malaysia ke serata dunia.

Ahmad Awang pula aktif dalam politik sekitar 1984 pernah menerajui pimpinan Persatuan Ulama Malaysia selama kira-kira 17 tahun dan Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan lebih 20 tahun. Beliau juga pernah berkhidmat di Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri yang kini dikenali Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Masjid Ar Ridzuan, Parit Buntar dipilih sebagai penerima Anugerah Pengurusan Masjid manakala Tanah Perkuburan Islam daerah Hilir Perak menerima Anugerah Pengurusan Tanah Perkuburan. Masing-masing menerima wang tunai RM5,000, plak dan sijil.

Sambutan Maal Hijrah di negeri ini bertemakan Menyantuni Umat Membawa Rahmat.