Ingkar Ujian Kali Kedua Akan Ditangkap Bermula Esok

Reading Time: < 1 minute

Bernama | Bermula esok, polis akan menahan dan mendakwa individu yang belum menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin di rumah, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau berkata individu terbabit telah diarahkan menghubungi pejabat kesihatan daerah berdekatan untuk menjalani ujian saringan kedua berkenaan.

Bermula 24 Julai lalu, kerajaan memutuskan semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan warganegara asing yang masuk ke Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan kerajaan.

Mereka yang terlibat perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin termasuk kos ujian saringan Covid-19.

Keputusan itu dibuat berikutan sikap segelintir individu yang pulang ke tanah air melanggar prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah dengan keluar serta berada di tempat awam selain menanggalkan gelang tangan yang wajib dipakai dalam tempoh tersebut.

Menurut Ismail Sabri, setakat ini seramai 839 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di enam stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor.

“Mereka pulang dari 17 negara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, China dan Australia,” katanya.