Pemakaian Pelitup Muka Di Tempat Awam Diwajibkan Mulai 1 Ogos

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Penggunaan pelitup separuh muka akan dikuatkuasakan di kawasan awam yang sesak dan di dalam kenderaan awam bermula 1 Ogos ini.

Keputusan itu diambil oleh kerajaan berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak 3 hari lalu serta ketidakpatuhan orang ramai terhadap SOP, menurut Menteri Keselamatan, Datuk Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

“Kementerian Kesihatan melaporkan 50 peratus mereka yang menjalani kuarantin di rumah tidak mematuhi SOP,” katanya.

Sebelum ini kerajaan tidak menguatkuasakan peraturan penggunaan pelitup separuh muka kerana akan membebankan golongan berpendapatan rendah tambahan pula ia perlu ditukar setiap 3 jam walaupun penggunaan 1 pelitup muka sehari dibenarkan.

“Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menetapkan bahawa orang ramai boleh menghasilkan sendiri pelitup muka dengan mengikuti syarat-syarat spesifikasi yang ketat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengeluarkan spesifikasi untuk pelitup muka buatan tangan tidak lama lagi, “katanya.

Beliau turut mensarankan orang ramai mula memakai pelitup muka dari sekarang memandangkan tidak lama lagi cuti perayaan Hari Raya Haji akan bermula.