Ipoh Perlu Ada ‘Roh’ Filem Untuk Jadi Lokasi Penggambaran Popular – Mamat Khalid

Reading Time: 2 minutes

Dalam usaha menjadikan Ipoh sebagai lokasi penggambaran popular di kalangan penggiat filem, Ipoh perlu ada ‘roh’ filem dan diisi dengan berbagai aktiviti bersangkutan dengan filem.

Bagi pengarah filem terkenal, Mamat Khalid, Ipoh memang sudah tersedia sebagai tempat untuk penggambaran filem.

“Bagi saya, Ipoh itu sendiri dah ‘ready’. Tapi masyarakat Ipoh itu sendiri perlu ada banyak aktiviti yang boleh ‘push’ benda ini untuk (menjadi) realiti,” katanya.

Beliau pernah menjadikan Ipoh sebagai sebahagian besar lokasi penggambaran untuk filemnya, Amir dan Loqman Pergi Ke Laut (2014).

“Kita ada persatuan penggiat filem, kita ada berbagai aktiviti filem diadakan di Ipoh, barulah Ipoh boleh dikenali sebagai tempat orang filem datang berkumpul,” menurut Mamat Khalid.

Baginya, tidak cukup sekadar menjemput penggiat filem datang ke Ipoh untuk membuat sesi penggambaran kerana Ipoh terlebih dahulu perlukan ‘roh’ filem sebelum boleh diangkat menjadi tempat popular di kalangan penggiat filem.

“Roh pembikin filem, roh orang yang sayangkan filem, roh aktivis, roh artisan filem perlu ada di Ipoh untuk mengangkat Ipoh menjadi tempat ‘shooting’ yang paling baik di Malaysia,” kata Mamat semasa sesi dialog selepas tayangan filem ‘Amir dan Loqman Pergi Ke Laut’ dalam program Sayangi Malaysiaku – Sama-Sama Forum sempena bulan kemerdekaan negara di Medan Selera Dato Sagor, Ipoh malam tadi.

Baginya, jika lebih banyak aktiviti berkaitan filem di Ipoh seperti sembang filem dan pertandingan filem pendek diadakan, Ipoh akan jadi terkenal kerana orang akan menyebut Ipoh sebagai tempat kegiatan orang-orang filem dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil.

Beliau menambah bandaraya Ipoh memerlukan ‘roh-roh’ seperti itu dan jika pra-syarat itu dapat diisi, maka secara automatik orang akan tahu bahawa Ipoh adalah tempat untuk sesi penggambaran filem.

Bila ditanya wartawan Independent berkaitan kesan perubahan tampuk pemerintahan terhadap industri perfileman, beliau menganggap itu adalah satu ‘proses’ dalam politik dan ia sepatutnya tidak memberi apa-apa kesan kepada industri perfileman tempatan.

Para penggiat seni terutama filem seharusnya menjadikan ia sebagai suatu galakan untuk lebih bebas dan berani berkarya dan menghasilkan filem yang bermutu tinggi. Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kebebasan yang dimaksudkan perlu ada batasnya. Sebagai masyarakat Melayu secara khususnya kaya dengan budaya dan adat resam yang disanjung tinggi, para penggiat filem harus menjaga batas-batas nilai ketinggian budaya masyarakat Melayu itu sendiri.