Perutusan Khas 100 Hari: Kerajaan Komited Banteras Rasuah Secara Menyeluruh – PM

Reading Time: 2 minutes

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam perutusan khas sempena 100 hari Kerajaan Pakatan Harapan sebentar tadi menyatakan kerajaan telah merealisasikan 21 dari 60 janji dalam manifesto Pakatan Harapan untuk membebaskan Malaysia dari isu rasuah dan menentukan tadbir urus yang baik.

Kerajaan memberi komitmen mahu Malaysia dikenali kerana integriti, bukan dikenali kerana isu rasuah.

Menurut PM, Kerajaan berpegang teguh kepada prinsip menolak rasuah dan akan membanteras kegiatan rasuah melibatkan pegawai dan institusi kerajaan secara menyeluruh. Beliau menambah bahawa kerajaan akan menghormati prinsip “the rule of law” dan sesiapa yang terlibat dalam rasuah tidak akan terlepas dari hukuman.

Kerajaan akan menggubal beberapa pelan tindakan bagi menangani rasuah secara menyeluruh. Antaranya, satu undang-undang yang membolehkan tindakan diambil terhadap pegawai-2 yang sengaja menyebabkan ketirisan, pembaziran, pemborosan terhadap dana kerajaan akan digubal.

Kes 1MDB yang sedang disiasat tidak lagi diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi seperti yang dilakukan kerajaan terdahulu. Beliau menekankan bahawa kerajaan hari ini tidak akan menyembunyikan sebarang laporan jenayah yang dilakukan oleh sesiapa termasuk anggota kabinet.

Semua anggota kerajaan termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, wakil rakyat perlu mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM. Ini supaya wujud keterbukaan dan ketelusan dalam pentadbiran kerajaan.

Beliau dalam pada itu menghargai keupayaan pemimpin dan pegawai baru yang belum ada pengalaman mentadbir.

“Walaupun ramai pemimpin kerajaan hari ini tidak mempunyai pengalaman mentadbir, tapi dalam tempoh 100 hari mereka telah berjaya menunai janji dan memperlihatkan keupayaan mereka mentadbir”, ujar beliau.

Tun turut mengingatkan bahawa sebagai manusia biasa, semua orang tidak dapat mengelakkan dari melakukan kesalahan dan kerajaan sedia ditegur dan tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat teguran yang baik.

Bercakap tentang kebebasan bersuara dan kebebasan media, Tun menyatakan kerajaan telahpun memenuhi janjinya dalam hal itu.

“Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan, kami telah memenuhi janji tidak akan menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media, namun kebebasan ini tidak termasuk usaha dan laporan untuk menghasut kaum-kaum supaya bermusuh sehingga tercetus huru hara dan rusuhan,” kata Tun M.

Sebelum itu, beliau menyebut bahawa hampir tiga ribu lima ratus kaum India yang memegang kad pengenalan merah berumur 60 tahun ke atas akan diberikan kad pengenalan biru.