Hab Mega Komponen Automotif Tg Malim Tarik Penyertaan Pengeluar China

Reading Time: 2 minutes

NINGBO, CHINA: Mobile Starhill (M) Sdn Bhd, hari ini memeterai perjanjian dengan beberapa pemain utama industri komponen automotif di Ningbo, wilayah Zhejiang, China untuk merealisasikan pembangunan Hab Mega Komponen Automotif Bersepadu Tanjung Malim, yang akan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan baru.

Melalui perjanjian yang dimeterai itu, beberapa syarikat pengeluar komponen automotif yang bernaung di bawah Dewan Perniagaan Antarabangsa Komponen Automotif Ningbo akan membentuk usahasama dengan Mobile Starhill untuk membangunkan kawasan seluas 40.47 hektar yang dimiliki oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).
Mobile Starhill adalah pemaju kepada hab berkenaan yang akan dibangunkan dengan kerjasama pihak PKNP melalui satu perjanjian kerjasama yang dimeterai awal bulan lalu.
Hadir menyaksikan majlis memeterai perjanjian tersebut adalah Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, ahli jawatankuasa Setiausaha Daerah Yinzhou Chen Guojun, ahli Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China, Chai Lida, Setiausaha Agung Persatuan Komponen Auto Ningbo Wang Hong; Pengerusi Dewan Perniagaan Antarabangsa Komponen Automotif Ningbo, He Yeming dan Ketua Pegawai Eksekutif PKNP, Mohd Ariff Yeop Ishak. Mobile Starhill diwakili oleh Pengerusi Eksekutif Tan Sri Dr Goh Tian Chuan.

Pada 2 Ogos lalu, Mobile Starhill dan PKNP menandatangi perjanjian kerjasama untuk membangunkan Hab Mega Komponen Auto Bersepadu di Tanjung Malim yang terletak berhampiran dengan Proton City.

Hab ini dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar mencecah RM7 bilion ini akan mengendalikan pengeluaran, pemasangan dan penghantaran sistem serta modul automotif.
Dalam ucapannya, Ahmad Faizal mengalu-alukan usahasama pelaburan tersebut yang akan memacu pembangunan ekonomi di Tanjung Malim dan mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan baru.

Beliau berkata, pembangunan hab ini bertujuan menyokong perancangan pengeluar kereta terkemuka China, Geely serta Proton untuk menerokai pasaran di rantau Asia Tenggara dengan menumpukan kepada kenderaan pemanduan di sebelah kanan, selain memenuhi permintaan syarikat-syarikat pengeluar kenderaan lain.

Pembangunan Hab Mega Komponen Auto Bersepadu di Tanjung Malim dan infrastruktur berkaitan dijangka mampu mengeluarkan sehingga 500,000 unit kenderaan setahun bagi pasaran automotif rantau ASEAN yang mempunyai populasi 600 juta penduduk.

“Saya memberi sokongan penuh kepada usaha ini yang dijangka akan mewujudkan 10,000 pekerjaan baharu di Perak, khususnya di Tanjung Malim, seterusnya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri Perak dan Malaysia.

“Saya berharap kerjasama ini akan menjadi platform untuk menarik penyertaan lebih ramai pemain industri komponen automotif dari kalangan 200 ahli Dewan Perniagaan Antarabangsa Komponen Kenderaan Ningbo Yinzhou,” ujarnya.

Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri Perak akan memulakan langkah untuk memperkenalkan insentif pengecualian cukai untuk pelaburan strategik dan juga geran untuk latihan teknikal dan kejuruteraan bagi tempoh di antara lima hingga sepuluh tahun.