Jabatan Penerangan, Pendidikan, Media Perlu Jadikan Malaysia Baru Lebih Bermakna Bukan Retorik

Reading Time: 3 minutes

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Alam Sekitar, Sains, Teknologi Hijau dan Penerangan Perak, Prof Dr Abdul Aziz Bari menekankan pentingnya Jabatan Penerangan, Pendidikan dan media untuk mengisi ruang yang ada di dalam `Malaysia Baru’ dalam kontek kerja masing-masing.

Beliau menegaskan ini penting supaya ia benar-benar dapat menjadikan `Malaysia Baru’ ini bermakna bagi masyarakat dan bukan sekadar retorik semata-mata.

Dalam kontek ini, katanya, pihak terbabit harus berperanan menyemai semangat perpaduan dalam masyarakat dengan lebih efektif.

“Jadi saya fikir dengan itu tidak harus kita mencanangkan soal perpaduan tanpa melihat masalah yang sebenar.

“Sebagai contohnya kita tidak boleh ataupun tidak akan berjaya untuk meleraikan pergaduhan tanpa kita melihat atau mengambil tahu mengapa mereka bergaduh… mengapa mereka bertengkar.

“Jadi saya fikir persoalan persoalan seperti itu kita tidak harus lagi berada di takuk lama iaitu menyuruh orang bersatu, menyuruh tanpa melihat ada masalah sebenarnya dan saya rasa manusia ini semuanya baik.

“Kala dia ada masalah atau dia menimbulkan masalah mesti ada problem yang mesti diselesaikan jadi saya minta supaya rakan-rakan di Jabatan Penerangan dan Pendidikan melihat aspek itu.’’ katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Negeri Perak 2018 di Auditorium Perak FM, RTM, Kompleks Sultan Nazrin Muizzudin Shah, Ipoh pada Khamis.

Menurut Aziz, kerajaan akan memberi sokongan dengan menyediakan satu ruang kepada jabatan terbabit agar dapat menjalankan tugas tanpa rasa bimbang dan ragu. Beliau juga berkata, pada sesi Parlimen ini akan melihat pemansuhan beberapa undang-undang antaranya yang banyak disebut Akta Hasutan.

“Seperti kita lihat sebelum ini orang guna Akta Hasutan untuk menakutkan orang… saya fikir itu juga penting untuk dilihat dan kita melihat dengan tidak adanya undang-undang ini para karyawan, aktivis seni akan lebih berani dan mampu menghasilkan karya bermutu tinggi.

“Saya ingin mengingatkan negara maju ialah negara yang tidak ada undang-undang yang banyak… Selalunya negara yang mundur negara yang depresif, diktatorial yang banyak sebenarnya dicipta untuk menakutkan rakyat.’’ katanya.

Aziz ketika diminta mengulas mengenai undang-undang yang menyekat artis dan karyawan seni daripada menghasilkan karya tinggi berkata: “Kita memang dah lalui puluhan tahun…Banyak undang-undang yang menyekat termasuk kita semua faham Akta Hasutan… saya fikir lebih banyak disalahgunakan dan lebih kepada satu ugutan kepada media dan juga mereka yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan kalangan berkuasa.

“Termasuk juga rakan dalam NGO dan masyarakat sivil yang menuntut supaya undang-udang seperti ini dihapuskan .

“Kita nak melihat satu suasana yang bukan sahaja terbuka tapi juga meriah dengan idea dengan kegiatan… saya fikir lambat laun akan diterjemahkan dalam bentuk kemakmuran, keceriaan dan kehebatan ekonomi.

“Kreativiti itu hanya boleh berkembang dan timbul kalau kita mempunyai satu kerangka dan persekitaran yang bebas… maknanya kita tidak dihambat oleh rasa rakut,’’ kata Aziz.

Ditanya mengenai tindakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping tidak membenarkannya untuk melawat maktab berkenaan baru-baru ini, Aziz menjelaskan pihak pengurusan MRSM berkenaan telah memohon maaf kepada beliau.

Katanya, mereka (MRSM) telah menjelaskan dan memohon maaf dan tidak timbul sebenarnya mereka nak engkar atau tidak mengakui ada perubahan dan sebagainya.

“Saya juga telah terima penggilan dari Pengarah MARA Negeri yang mohon maaf dan kami akan berjumpa dalam masa terdekat dan saya fikir selepas ini akan banyaklah aktiviti yang melibatkan mereka walaupun mereka itu sebenarnya terus di bawah Persekutuan tetapi oleh kerana mereka juga sedar bahawa mereka itu berada di peringkat negeri mereka harus akur dengan pihak negeri.

“Kita juga sebenarnya bukan kerana nak cuba tunjuk kuasa, tidak sebab kita terpaksa menjawab. Bagi masyarakat, apapun sekolah, kolej mana pun bila melibatkan pendidikan sebagai contoh dia akan melihat kerajaan negeri khususnya Exco Pendidikan jadi itu yang menyebabkan saya cuba ataupun melawat sekolah berkenaan walaupun saya tahu itu sebenarnya bidang kuasa Persekutuan.

“Tetapi apapun mereka faham dan tak timbul soal pertindihan kuasa dan sebagainya,’’ katanya.

Aziz dalam kenyataannya sebelum ini berkata, walaupun MRSM bukan milik kerajaan negeri, tetapi beliau sebagai anggota exco yang bertanggungjawab dalam pendidikan perlu mengetahui kejadian keracunan yang berlaku di situ baru-baru ini.

Dalam kejadian Rabu lalu, seramai 31 pelajar MRSM mengalami cirit birit dan muntah setelah mengalami keracunan makanan.