KDN Akan Mesyuarat Dengan Wakil Negeri Bincang Isu PATI

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) — Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan mesyuarat bersama wakil-wakil negeri termasuk ketua kampung dan orang ramai dalam mencari jalan penyelesaian efektif menangani isu kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam negara.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perbincangan itu antara lain bagi mendapatkan maklum balas mengenai situasi, masalah serta keberadaan warga PATI di kawasan luar bandar dan bukan hanya tertumpu di kawasan bandar sahaja.

“KDN memerlukan kerjasama daripada semua termasuk kerajaan negeri, jawatankuasa keselamatan peringkat negeri termasuk daerah dan kampung. Jika kita dapat libatkan mereka ini semua dalam menjadi mata telinga menyampaikan maklumat, pihak kami percaya penguatkuasaan lebih berkesan dapat dilaksana kerana pendatang tanpa izin ini bukan hanya ramai di bandar, di kawasan kampung juga ramai.

“Perkara ini bukan lagi terletak di bawah isu imigresen bahkan ia kini melibatkan isu nasional, kita mahu mereka juga terlibat,” katanya kepada pemberita pada sidang media Operasi Bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kampung Baru dan Chow Kit malam ini.

Menurut Muhyiddin, mesyuarat itu akan diadakan selepas sambutan Aidilfitri dan segala intipati yang diutarakan akan dibawa ke peringkat kabinet untuk tindakan susulan.

Dalam pada itu, seramai 134 PATI telah ditahan dalam Operasi Bersepadu JIM di sekitar Kampung Baru dan Chow Kit malam ini.

Operasi yang diketuai Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud itu bermula pada pukul 9.15 malam tadi diadakan di sekitar premis perniagaan di kawasan itu.

“Kira-kira 235 PATI diperiksa dan ada yang ditahan kerana kesalahan tidak mempunyai dokumen sah, salah guna pas lawatan, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

“Sepanjang tempoh bermula 1 Jan sehingga 27 Mei 2019 JIM telah melaksanakan 7,501 Operasi Penguatkuasaan di seluruh negara manakala seramai 95,029 orang diperiksa, dan hasilnya 22,473 PATI daripada pelbagai warganegara ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya.

— BERNAMA