Kedah Perlu Pertingkatkan Komitmen Urus Sumber Hutan

Reading Time: 5 minutes

Apabila media menyiarkan kenyataan Menteri Besar Kedah, YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor bahawa ‘Kedah sedia pertimbang buka kembali konsesi balak’, ianya telah menimbulkan kebimbangan dan polimek dikalangan aktivis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berasaskan alam sekitar, netizen media sosial dan pelbagai pihak.

Walau bagaimanapun, kebimbangan tersebut perlulah disusuli dengan idea dan cadangan yang bernas kepada Pihak Berkuasa Negeri selaku pihak berkuasa yang membuat keputusan bagi memastikan alam semulajadi khususnya sumber hutan dan kawasan semulajadi darat yang masih terdapat di negeri Kedah terpelihara.

Tetapi bagi memastikan juga idea dan cadangan tersebut realistik, khususnya apabila menyentuh isu hutan Ulu Muda, kita sendiri seharusnya telah pernah mendaki bukit, menuruni lembah, merentas jeram dan sungai yakni telah turun ke lapangan menghayati keindahan alam semulajadi kawasan hutan tersebut.

Saya tertarik memetik kenyataan YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor semasa sidang media setelah dilantik sebagai Menteri Besar Kedah iaitu antaranya memfokuskan ekonomi berasaskan pertanian dan menyediakan bekalan air bersih.

Menteri Besar sebagai berkata, pimpinan beliau akan menjadikan negeri Kedah sebagai negeri jaminan keselamatan makanan yang mampu memenuhi permintaan seluruh negara atau ‘periuk nasi’ dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada pengimportan makanan.

Pada pandangan saya, salah-satu tindakan yang harus diambil untuk mencapai hasrat terhadap dua perkara tersebut ialah memastikan sumber hutan dan kawasan semulajadi darat diurus secara lestari dan mampan serta memaksimumkan guna-tanah / zon pertanian sedia ada disamping melakukan beberapa tindakan lain.

Sumber hutan dan kawasan semulajadi darat yang diurus secara lestari dan mampan secara tidak langsung akan memastikan rantaian sektor-sektor berkaitan terus produktif dan berdaya saing.

Salah satu cadangan jangka panjang NGO kepada Pihak Berkuasa Negeri sejak tahun 80-an lagi ialah menambah keluasan hutan perlindungan yang diwartakan mengikut Seksyen 10(1)(b-l), Enakmen (Pemakaian) Perhutanan 1985 di gugusan hutan Ulu Muda.

Sebagaimana sedia maklum, gugusan hutan Ulu Muda berperanan sebagai punca bekalan air (kawasan tadahan) ke tiga tasik utama di negeri Kedah iaitu Tasik Muda, Tasik Ahning dan Tasik Pedu.

Gugusan hutan Ulu Muda adalah ‘kompleks hutan’ yang berkeluasan kira-kira 163,000 hektar yang meliputi lapan Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan wajar dilindungi daripada dieksploitasi secara melampau dan dimusnahkan.

Ketiga-tiga tasik tersebut pula mempunyai kepentingan terutama bagi tujuan mengairi kawasan jelapang padi di negeri Kedah dan sebahagian Seberang Perai disamping untuk tujuan domestik, perindustrian dan beberapa kegunaan lain di negeri Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Mengikut Rancangan Fizikal Negara (RFN), gugusan hutan Ulu Muda adalah dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) yang perlu dipelihara dan dilindungi. Sebarang gangguan kepada KSAS Tahap 1 akan memberi kesan jangka panjang kepada persekitaran dan sumber air.

Disamping itu, gugusan hutan Ulu Muda mempunyai kepelbagaian hayat berskala besar (mega biological diversity forest) (terutama habitat dan kawasan keliaran mamalia besar khususnya Gajah dan Harimau) yang masih terdapat di negeri Kedah.

Sekiranya gugusan hutan Ulu Muda dieksploitasi secara melampau dan dimusnahkan tidak mustahil boleh menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit.

Menurut pakar kesihatan dan alam sekitar, kegiatan eksploitasi secara melampau dan pemusnahan kawasan hutan yang merupakan habitat hidupan liar adalah antara faktor utama yang boleh menyebabkan penyebaran penyakit berjangkit termasuk pendemik Covid-19.

Manusia dan alam semulajadi adalah sebahagian sistem yang saling berhubung kait dan manusia perlu memahami bagaimana ianya berfungsi supaya manusia tidak bertindak keterlaluan sehingga tidak dapat menerima kesan negatif akibatnya.

Sahabat Alam Malaysia (SAM), iaitu salah satu NGO yang berpendirian tegas membantah kegiatan pengusahasilan (pembalakan) di gugusan hutan Ulu Muda, bersetuju keputusan Kabinet oleh kerajaan terdahulu yang memutuskan melarang sebarang kegiatan pengusahasilan di semua HSK dalam gugusan hutan Ulu Muda serta mencadangkan perlu dikelaskan sebagai hutan perlindungan mengikut Seksyen 10(1)(b-l), Enakmen (Pemakaian) Perhutanan 1985.

Berdasarkan perangkaan tahun 2017, keluasan kawasan berhutan di negeri Kedah adalah kira-kira 342,431 hektar. Daripada jumlah tersebut, kawasan berhutan berstatus HSK adalah seluas 341,976: hektar atau 36% sahaja daripada keluasan tanah negeri manakala selebihnya iaitu kira-kira 455 hektar masih berstatus Tanah Kerajaan.

Oleh itu saya menggesa Pihak Berkuasa Negeri mengekalkan keluasan kawasan berhutan terutama kawasan HSK sedia ada agar selari dan mematuhi dengan:-

i) Komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi Rio, Brazil pada tahun 1992 dan Persidangan Mengenai Perubahan Iklim ke-15, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Copenhagen, Denmark pada Disember 2009 iaitu mengekalkan 50% keluasan tanah negara dilitupi hutan;

ii) Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992) iaitu mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan bagi pengeluaran dan perkhidmatan hutan yang berterusan;

iii) Matlamat dan sasaran Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) iaitu pada tahun 2020 keluasan HSK di Semenanjung Malaysia mencapai lima (5) juta hektar; dan

iv) Salah satu Strategi Korporat Jabatan Perhutanan Negeri iaitu mengekalkan keluasan HSK sedia ada dan meningkatkan keluasannya.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Perhutanan Negeri beberapa tahun kebelakangan, terdapat pengurangan sedikit keluasan kawasan HSK di negeri Kedah kerana pemansuhan sebahagian kawasan HSK.

Ini ditambah pula kawasan HSK yang telah dimansuh tidak diganti semula oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Perhutanan 1985. Ketiadaan kawasan tidak boleh dijadikan alasan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk tidak mengganti kawasan HSK yang dimansuhkan.

Satu lagi isu berkaitan kelemahan pengurusan hutan yang kerap diketengahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ialah kebimbangan terhadap trend beberapa Pihak Berkuasa Negeri yang menggalakkan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur (ladang hutan) berskala besar dalam kawasan HSK.

Pada dasarnya, zon pembangunan ladang monokultur dalam HSK yang diluluskan di negeri Kedah adalah seluas 15,380 hektar atau 4.50% daripada keluasan HSK di negeri Kedah.

Terdapat kawasan pembangunan ladang monokultur merupakan kawasan koridor hidupan liar terutama habitat dan kawasan keliaran mamalia besar serta kawasan Rangkaian Ekologi – ‘Central Forest Spine’ (CFS): ‘Primary Linkage’ 5 iaitu Hutan Simpan Ulu Muda – Hutan Simpan Gunung Inas, Daerah Hutan Kedah Selatan.

Apabila guna tanah hutan di sesuatu kawasan HSK ditukar kepada pembangunan ladang monokultur, menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Malah terdapat pembangunan ladang monokultur dalam HSK di negeri Kedah didapati tidak mengikut kriteria kesesuaian penubuhan ladang monokultur sebagaimana Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Bil 1 Tahun 2010 dan Garis Panduan Penubuhan Ladang Hutan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

Antara isu berbangkit berkaitan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK di negeri Kedah yang didapati tidak mengikut kriteria penubuhan kawasan ladang monokultur ialah:-

i) pembangunan di kawasan berkecerunan melebihi 25 darjah;

ii) memusnahkan kawasan rizab sungai / zon riparian;

iii) melaksana projek di kawasan yang bukan ditakrifkan sebagai hutan miskin / hutan terosot;

iv) pemilihan spesies pokok yang tidak disenaraikan (contoh: Durian ‘Musang King’); dan

v) terdapat projek yang pernah beroperasi tetapi tidak mengemuka dan mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (Laporan EIA) terlebih dahulu (contoh: pembangunan ladang monokultur di Hutan Simpan Bukit Enggang, Daerah Hutan Kedah Tengah).

Saya selaku aktivis dengan kerjasama NGO yang akan membantah sekiranya Pihak Berkuasa Negeri tetap hendak meneruskan dasar dan cadangan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur berskala besar dalam HSK.

Disamping itu terdapat juga kegiatan dan pengubahan guna-tanah lain dalam HSK terutama kegiatan pengkuarian.

Pihak Berkuasa Negeri perlu mematuhi ketetapan Majlis Tanah Negara (MTN) kerana semasa Mesyuarat MTN kali ke-70 pada tahun 2014, semua Pihak Berkuasa Negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau sebolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK.

Kegiatan pengkuarian dan pengubahan guna-tanah lain dalam HSK boleh menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Saya juga dengan kerjasama NGO akan membantah sekiranya Pihak Berkuasa Negeri tetap hendak meneruskan dasar dan cadangan kegiatan pengkuarian dalam HSK.

Sekiranya Pihak Berkuasa Negeri komited untuk memastikan kawasan berhutan dan kawasan semulajadi darat di negeri Kedah terpelihara, Pihak Berkuasa Negeri perlu juga mengambil maklum dan tindakan:-

i) Mengganti semula kawasan HSK yang telah dimansuh mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Perhutanan 1985 dan menyatakan kawasan yang diganti;

ii) Meminda peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan pengeluaran (pemansuhan) kawasan tanah daripada HSK. Tujuan pindaan adalah supaya apabila Pihak Berkuasa Negeri hendak memansuhkan status tanah daripada HSK perlu terlebih dahulu diadakan penglibatan awam sebagaimana yang dilaksanakan di negeri Selangor;

iii) Bersungguh-sungguh menangani isu pencerobohan dan penorakaan haram kawasan HSK dan mengambil tindakan peguatkuasaan yang tegas mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. Sebagai contoh, isu pencerobohan dan penorakaan haram di Hutan Simpan Bukit Malut, Pulau Langkawi;

iv) Mewartakan semua kawasan yang dikategori sebagai KSAS Tahap 1 dan Kawasan Rangkaian Ekologi ‘CFS’ ‘Primary Linkage’ dan ‘Secondary Linkage’ sebagai kawasan perlindungan;

v) Memohon pampasan kepada Kerajaan Persekutuan kerana Kerajaan Negeri akan kekurangan hasil disebabkan tidak membenarkan kegiatan pembalakan di kawasan gugusan hutan Ulu Muda; dan

vi) Tidak akan meluluskan semula permohonan yang telah dibatalkan terhadap cadangan kuari batu kapur di Gunung Pulai, Daerah Baling.

Demikian diantara saranan supaya Pihak Berkuasa Negeri boleh mempertingkatkan komitmen menguruskan sumber hutan dan kawasan semulajadi darat secara lestari dan mampan.

Saya berharap dan berkeyakinan YAB Menteri Besar Kedah dan pimpinan diperingkat Pihak Berkuasa Negeri akan memberi perhatian dan maklum balas yang positif.

Meor Razak bin Meor Abdul Rahman adalah pegawai lapangan kumpulan mempertahankan alam sekitar, Sahabat Alam Malaysia (SAM)