Kelab Penyokong Bolasepak Perak Gesa Hasnul Lepas Jawatan Presiden PAFA

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Presiden PAFA terus menerima kecaman dari pelbagai pihak. Hari ini, Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Perak, Syamsul Baharin Ahmad Shibi menggesa YB Hasnul Zulkarnain segera melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Perak kerana tidak menghargai `titik peluh’ dan jasa pemain khususnya penyokong Perak.

Katanya, biarlah orang yang benar-benar layak dan sentiasa menghargai jasa pemain dan penyokong pasukan bolasepak negeri Perak dilantik memegang jawatan Presiden PAFA.
Menurut Syamsul, tindakan YB Hasnul itu boleh dibaratkan sebagai `kadok naik junjung’ kerana meraikan kemenangan piala itu antara beliau sahaja tanpa disambut dengan pemain-pemain.

“Kita amat menghargai jasa pemain-pemain atas kemenangan piala berprestij ini yang kita tunggu 18 tahun lamanya tetapi tindakan Presiden PAFA itu sangat memalukan.

“Ibarat `kaduk naik junjung’ … sedangkan pemain dan penyokong berulang-alik tanpa berputus asa selama ini pergi dan balik ke stadium di luar negeri Perak untuk memberikan sokongan moral malangnya kemenangan itu tidak disambut bersama pemain.” katanya.

Syamsul mendakwa, Hasnul mempolitikkan isu kemenangan Perak seolah-olah dia dan kerajaan Pakatan Harapan yang dapatkan piala itu sedangkan pemain-pemain turun ke padang berjuang mati-matian untuk menggapai kemenangan itu.

Kelmarin netizen mengecam Presiden Persatuan Bolasepak Perak, Hasnul Zulkarnain yang bergambar dengan piala yang dimenangi pasukan bolsepak Perak baru-baru ini yang dianggap ‘tidak beradab’.

Tindakannya yang memuatnaik foto-foto beliau mengusung piala itu ke sana ke mari seolah-olah piala itu milik peribadi menimbulkan kemarahan penyokong pasukan The Bos Gaurus.

Dalam satu hantaran, menunjukkan beliau meletakkan piala itu dicelah kelangkangnya semasa duduk beristirehat di tepi kolam mandi. Setelah menerima kecaman peminat, foto ini sudah tidak kelihatan lagi di laman sosial peribadi beliau.

Laman sosial Seladang Fan Club turut berkongsi siri foto dari atas bas tersebut sambil menegur agar kesilapan yang dilakukan patut dijadikan pengajaran.

Tinjauan Independent hari ini mendapati laman Facebook peribadi YB Hasnul yang tidak putus-putus menerima komen spam dari mereka yang tidak berpuas hati terhadap beliau sudah tidak wujud lagi.