Industri Tidak Penting Tidak Harus Dibenar Beroperasi

Reading Time: 2 minutes

ULASAN | Objektif utama perintah kawalan pergerakan adalah untuk memutuskan rantaian penularan wabak koronavirus. Oleh sebab itu kerajaan bertindak tegas mengerah ribuan anggota polis, tentera dalam memastikan perintah dipatuhi.

Akan tetapi dalam ketegasan kerajaan, masih terdapat kelemahan ketara yang tidak mahu diakui. Pelepasan yang diberi kepada industri penting seperti makanan, pertanian, khidmat penghantaran tidak dinafikan.

Tetapi terdapat juga industri yang mendakwa mereka mendapat pelepasan dari kerajaan dalam perintah kawalan pergerakan. Industri ini pula bukannya industri kecil-kecilan. Mereka menggaji ribuan pekerja. Dengan pihak pengurusan syarikat mengeluarkan surat perakuan sudah memadai untuk mereka dibenarkan bekerja – atau melepasi sekatan jalan yang dibuat oleh pihak berkuasa. Mereka ini seperti diberi lesen yang mendapat pelepasan dari kerajaan.

Satu rakaman video di media sosial menunjukkan anak-anak belasan tahun yang melepak dipukul oleh polis dengan ranting kayu dan menghalau mereka pulang supaya duduk di rumah tetapi dalam masa yang sama ribuan lagi sedang dalam perjalanan menaiki bas kilang berhawa dingin berulang alik ke tempat kerja dan menukar shif. Mereka ini jumlahnya bukan sedikit.

Surau dan masjid dilarang mengadakan solat berjemaah yang bilangannya hanya beberapa syaf, tidak sampai seribu orang kebiasaannya. Ini semua dilakukan untuk memutuskan rantaian penyebaran wabak Covid-19.

Bekerja di dalam bangunan berhawa dingin bersama-sama warga asing – ianya seperti bom jangka yang hanya menunggu masa untuk meletus apabila seorang sahaja dari ribuan pekerja dijangkiti koronavirus (Covid-19) dan orang itu pulang ke rumah bersama keluarganya setiap hari, rakan-rakannya juga sedang dijangkiti dan rakan itu pula akan menyebarkan virus kepada ahli keluarga mereka. Ahli keluarga pula akan menyebar ke kedai-kedai runcit dan pasaraya serta jiran tetangga mereka.

Contoh yang dimaksudkan adalah perusahaan multinasional seperti kilang semikonduktor dan penghasilan bahan-bahan binaan.

Industri semikonduktor misalnya memang diakui penting tetapi di dalam perintah kawalan pergerakan, ia tidak cukup untuk memenuhi syarat sebagai industri yang penting dan tidak seharusnya diberi kebenaran untuk terus beroperasi.

Ia boleh diberhentikan buat sementara waktu. Sebahagian besar produk semikonduktor dieksport ke luar negara dan digunakan di dalam pelbagai barangan elektronik termasuk komponen kereta dan mesin-mesin perubatan. Tetapi memandangkan perkembangan semasa di seluruh dunia di mana kebanyakan indutri terhenti seketika termasuk pengeluaran kereta, permintaan pasaran juga menurun mendadak, adalah tidak masuk akal ia dimasukkan ke dalam industri penting yang harus terus beroperasi buat masa ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepatutnya memikirkan risiko yang harus ditanggung oleh golongan pekerja ini. MITI tidak harus memberi kebenaran kepada industri semikonduktor meneruskan operasi kerana ia melibatkan begitu ramai pekerja. Walaupun beroperasi dalam kapasiti 50%, jumlah pekerjanya masih lagi besar.
Ada kilang yang beroperasi dalam kapasiti 50% tetapi jumlah pekerjanya masih lagi tidak kurang dari 2,000 ke 3,000 orang.

Mereka ini begitu terdedah kepada jangkitan dan hanya menunggu masa yang sesuai sahaja untuk meletus seperti meletusnya gunung berapi. Apabila perkara buruk sudah berlaku, ketika itu kerajaan sudah tidak ada pilihan lain lagi kecuali terpaksa menghentikan terus operasi kilang-kilang ini. Yang sepatutnya tidak seharusnya diberi kebenaran beroperasi sejak dari mula lagi.

Entah bagimana ia masih mendapat kelulusan menjadi tanda tanya.

Akibatnya harus dibayar dengan harga yang amat mahal. Kerajaan sepatutnya lebih tegas dan tidak memilih bulu dalam memberi kebenaran kepada pihak-pihak berkaitan untuk meneruskan operasi. Kilang roti Gardenia yang beroperasi 50% terpaksa menggunakan sepenuh tenaga untuk menampung permintaan pelanggan namun itu masih tidak mencukupi. Sepatutnya kilang makanan seperti Gardenia ini diberikan kebenaran beroperasi dengan kapasiti penuh, bukannya separuh kerana ia menghasilkan produk yang amat penting iaitu makanan dan ia dipasarkan di dalam negara untuk memenuhi permintaan rakyat tempatan.