Kerajaan Perak Serius Perangi Rasuah – MB

Reading Time: < 1 minute

Kerajaan negeri Perak pimpinan Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu serius dalam menangani gejala rasuah dan mahu meningkatkan ketelusan dalam pentadbiran.

Kenyataan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Perak dalam Perutusan Menteri Besar Perak Sempena Setahun Malaysia Baharu di Kediaman Menteri Besar (Lama) di Ipoh semalam.

Menurutnya, langkah yang diambil kerajaan negeri itu bertepatan dengan titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah pada perasmian Mesyuarat Pertama Yang Kedua Dewan Negeri Perak ke-14 bulan lepas.

Dalam titah perasmian itu, Paduka Seri Sultan telah bertitah bahawa gejala rasuah wajib diperangi secara tegas kerana rasuah membebankan rakyat. Rasuah terbukti telah melumpuhkan banyak negara dan tamadun dunia.

“Bagi menjunjung titah Paduka Seri Sultan Perak, pentadbiran kerajaan negeri Perak telah mengambil langkah mewajibkan Menteri Besar dan semua barisan EXCO mengisytiharkan harta serta memperkenlakan sijil audit untuk semua badan berkanun negeri termasuk Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.).

“Bagi menyemai budaya bersih cekap dan amanah, pentadbiran ini juga telah memperkenalkan anugerah integriti untuk kakitangan kerajaan negeri,” kata Ahmad Faizal.

Menurutnya lagi, tempoh ‘bulan madu’ meraikan kemenangan telah lama berlalu, pentadbiran perlu bekerja lebih keras bagi menzahirkan agenda dan harapan rakyat.

Beliau mengingatkan bahawa jawatan yang dipegang adalah amanah dan bukannya keistimewaan atau ‘privilege’ kerana inilah yang menjadi penyebab rakyat bangkit menolak pentadbiran sebelum ini.

“Kita perlu berpegang kepada kata² azimat ayahanda Tun Mahathir bahawa untuk berjaya, kita tidak hanya belajar dari kejayaan orang lain, tetapi kita juga mesti belajar dari kesilapan orang lain.

“Justeru, dengan penuh keinsafan, kita perlu sentiasa mengambil iktibar dari kesilapan yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu,” pesan beliau kepada para hadirin.