Kerajaan Perlu Kaji Sebelum Benarkan Industri Perkayuan Beroperasi Semasa PKP

Reading Time: < 1 minute

Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) perlu memperhalusi kebenaran yang telah diberikan kepada sektor industri berasaskan kayu-kayan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Gesaan ini adalah merujuk kepada kenyataan Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu yang berharap sektor berasaskan kayu-kayan dibenarkan beroperasi kerana sektor tersebut menyumbang kepada salah satu hasil utama negeri dan beroperasi jauh dari tumpuan umum.

Produk daripada industri berasaskan kayu-kayan bukannya merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan penting malah ia bukannya dikategori sebagai sektor perkhidmatan perlu dan melibatkan kepentingan awam.

Persoalannya, adakah justifikasi dan alasan bahawa sektor tersebut menyumbang kepada salah satu hasil utama negeri dan beroperasi jauh dari tumpuan umum boleh diterima.

Adakah pihak-pihak berkuasa dan pemain-pemain industri di sektor tersebut juga boleh memberi jaminan bahawa syarikat-syarikat yang beroperasi mampu mematuhi protokol kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

Industri berasaskan kayu-kayan di negara kita kebanyakannya masih mengamalkan kaedah konvensional, menggunakan tenaga kerja yang ramai dan keadaan persekitaran yang rencam.

Adalah dibimbangi, kebenaran yang diberi kepada sektor industri berasaskan kayu-kayan untuk beroperasi boleh mengganggu usaha kerajaan menyekat dan mengawal penularan pendemik Covid-19.

Meor Razak bin Meor Abdul Rahman adalah pegawai lapangan dan aktivis Sahabat Alam Malaysia (SAM)