Kerajaan PH Bongkar Syarikat Konsultan `Perdaya’ Lembaga Pengarah PeKA

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Selepas membuat pendedahan ketirisan yang berlaku dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terdahulu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) Perak hari ini membuat kejutan apabila membongkar satu penyelewengan di dalam Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA).

Penyelewengan yang dibongkar berkaitan tuntutan palsu oleh sebuah syarikat konsultan bagi PeKA. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembagunan Belia dan Sukan Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How, susulan pembongkaran itu, Lembaga Pengarah PeKA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin telah membuat satu laporan kepada SPRM.

“Datuk Zainol telah menghubungi saya selepas beliau menerima satu notis mahkamah daripada Kumpulan Wang Simpnan Pekerja (KWSP) yang menyatakan tunggakan selama 8 bulan caruman dan saya telah mengarahkan untuk satu audit dalaman dijalankan.

“Di antara laporan yang telah diterima adalah pembentangan oleh Pengarah Syarikat Konsultan itu kepada Lembaga Pengarah di antaranya penempatan seramai 6,000 orang setahun untuk pekerjaan di negeri Perak, sedangkan jumlah sebenarnya hanya 100 orang sahaja selepas siasatan audit dalaman yang telah dijalankan atas arahan saya.

“Siasatan awal juga mendapati bukan sahaja caruman KWSP yang tidak dibayar oleh syarikat konsultan, tunggakan bayaran bulanan Telekom Malaysia yang telah mencapai RM30,000 dan tunggakan bayaran bulanan ruang pejabat di Aras 1, Terminal Amanjaya selama lapan bulan mencecah RM80,000 juga tidak dilangsaikan.

“Kita sedia maklum bahawa pada setiap pembentangan daripada syarikat konsultan kepada Lembaga Pengarah sebelum ini menunjukkan kesemua bayaran telah dilaksanakan oleh mereka, namun hakikatnya segala pembentangan adalah tidak benar sama sekali.

“Kita sedar akan kecuaian daripada pihak Ahli Lembaga Pengarah di dalam hal ini, namun begitu Pengarah syarikat konsultan memperdaya bukan sahaja kesemua Ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan PeKA malah kesemua masyarakat di negeri Perak,’’ katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Sehubungan itu Howard berkata, beliau menyerahkan kepada pihak SPRM untuk meneruskan siasatan bagi merungkai lebih banyak ketirisan yang berlaku. Beliau turut menegaskan PeKA akan distruktur semula dan penjenamaan baharu iaitu Perbadanan Aspirasi Anak Perak atau nama singkatannya `PASAK’.

“Penjenamaan ini akan memberi satu dimensi baharu untuk belia negeri Perak khususnya di dalam penyediaan pembangunan belia yang menyeluruh dari segi pendidikan, kemahiran dan kerjaya,’’ katanya.