Kerajaan Tidak Pernah Jual Lapangan Terbang Tekah Kepada Mana-mana Pihak

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan negeri Perak tidak pernah menyerah atau meluluskan tanah tapak lapangan terbang Tekah, Taiping kepada mana-mana pihak untuk projek pembangunan.

Demikian menurut Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang akhbar di Dewan Serbaguna, Bangunan Darul Ridzuan selepas merasmikan Majlis Penyerahan Peruntukan Kepada Sekolah-Sekolah Separuh Bantuan Kerajaan di Ipoh hari ini.

Tegasnya lagi, kerajaan negeri sebaliknya telah mencadangkan kepada Pejabat Tanah Galian (PTG) agar menggazetkan kawasan lapangan terbang tersebut sebagai tapak warisan negeri.

“Saya setuju tapak ini perlu kita jaga, namun sebelum kita lakukan sesuatu saya harap periksa betul-betul apakah landasan itu telah kerajaan luluskan kepada pihak lain.

“Saya harap mereka ini (pihak yang berdemonstrasi), kalau hari itu laporan media mengatakan dua ratus orang datang berdemonstrasi, saya nak ajak dua ratus orang ini bersama-sama dengan saya pula … kita turun balik ke tapak yang sama, kita potong rumput, kita jaga tempat itu cantik-cantik sebab ini tapak warisan macam kita jaga rumah, tanah pusaka kita … nenek moyang dah tinggalkan untuk kita.

“Kita kena tebas, jaga pokok, bersihkan dan sebagainya, jangan asyik nak makan buahnya saja. Ini perkara yang perlu kita buat jika kita sayangkan negeri kita … jangan berdemonstrasi atas sesuatu perkara yang tidak betul,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata beliau berasa kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh para pendemonstrasi yang menunjukkan mereka cintakan warisan negara.

Ahmad Faizal mengulas mengenai laporan beberapa media tempatan (bukan media Independent) Jumaat lalu berhubung tindakan 200 Ahli Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping mengadakan perhimpunan aman membantah “penjualan” tanah Lapangan Terbang Tekah, Taiping kepada sebuah syarikat pemaju.

Beliau seterusnya menjelaskan kerajaan Pakatan Harapan mahupun Barisan Nasional tidak pernah meluluskan tapak landasan itu kepada mana-mana pihak melainkan sebahagian dari tanah berdekatan yang bukan terletak di dalam lapangan terbang itu.