Kurang Kesedaran Imunisasi Antara Punca Penularan Wabak Penyakit

Reading Time: < 1 minute

TAPAH | Masyarakat orang asli masih kurang kesedaran terhadap keperluan mendapatkan suntikan imunisasi. Ini mendorong kepada terjadinya wabak penyakit seperti yang berlaku kepada penduduk Asli Batek Kuala Koh, Kelantan baru-baru ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy, antara faktor yang menyumbang termasuk tiada pengetahuan dan cara hidup masyarakat Orang Asli di situ yang berpindah-randah.

“Sebagaimana yang kita ketahui masyarakat Batek di Kelantan baru baru ini adalah satu masyarakat yang sering berpindah-randah jadi daripada angka yang kita terima kurang daripada 70 peratus mengambil imunisasi tahap pertama, lebih kurang 30 peratus yang meneruskan tahap kedua.

“Kesedaran masih kurang, jadi kita perlu memujuk merekalah, penduduk tak nak terima ataupun tiada pengetahuan secukupnya. Cara hidup mereka berpindah randah, untuk berjumpa dengan mereka susah setiap kali pihak kesihatan dan doktor pergi ke kawasan itu…orang itu tiada lagi,” kata beliau kepada pemberita di Majlis Ramah Mesra Pemimpin Bersama Masyarakat Orang Asli DUN Chenderiang, di sini pada Selasa.

Turut sama hadir ialah Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Waytha lagi, fenomena sebegitu tidak sepatutnya berlaku di zaman ini dan pihaknya akan meneruskan usaha mendampingi masyarakat orang asli dan memberi penerangan akan pentingnya suntikan imunisasi.

“Apa yang berlaku tidak harus berlaku dalam era moden ni dan sebagai Menteri yang bertanggunjawab terhadap Orang Asli, saya akan mendapatkan kerjasama daripada agensi kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan.

“Untuk bersama kami di JAKOA lebih mendampingi masyarakat orang asli dan untuk convince (yakinkan) merekalah bahawa imunisasi itu adalah satu yang baik dan perlu di zaman moden ni … mereka dapat imunisasi, untuk develop antibodi,”ujarnya.