Perak Bangkit Tumpas Skuad Penyu TFC I 3-1

Reading Time: 2 minutes

Ipoh | Skuad bola sepak Perak berjaya memperoleh kemenangan kelima dalam saingan Liga Super sekali gus mengutip tiga mata penuh selepas menumpaskan Terengganu Football Club I (TFC I) 3-1 di Stadium Perak di sini sebentar tadi.

Anak buah Mehmed Durakovic terlebih dahulu bermula garang dengan membuat percubaan awal pada minit ke-3 menerusi Kenny Pallraj apabila dia menanduk bola hantaran sepakan sudut daripada Mohd. Nor Hakim Hassan namun berjaya ditepis penjaga gol TFC I, Muhammad Ilham Amirullah Razali.

Perak sekali lagi cuba mendapatkan jaringan awal melalui J. Partiban pada minit ke-15, namun bola sepakannya dinafikan tiang gol sebelum dikeluarkan pertahanan lawan.

Lima minit , sepakan percuma yang diambil pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim hampir menerjah gawang TFC I namun ketangkasan Muhammad Ilham menafikan usaha tuan rumah.

TFC I hampir memperoleh jaringan penyamaan menerusi tandukan Tchetche Kipre namun ia dibatalkan selepas dia berada dalam kedudukan off-side.

Nasib malang menimpa pasukan teranggu apabila pemain tengah importnya, Dechi Marcel N’guessan diperintahkan keluar padang selepas mengutip kad kuning kedua pada minit ke-27 kerana mengasari pemain tengah Perak, Leandro Dos Santos.

Walaupun bermain dengan sepuluh pemain, TFC I terus mencari peluang untuk mendapatkan gol menerusi bintang import mereka yang juga merupakan kapten pasukan, Tchetche Kipre apabila dia menggelecek bola masuk ke kotak penalti namun sepakannya sedikit tersasar dari gawang gol Perak pada minit ke-30.

Gol yang ditunggu-tunggu tuan rumah akhirnya berhasil pada minit ke-34 apabila Kapten, Shahrul Saad mudah menanduk bola masuk ke gawang selepas menerima hantaran bola sepakan sudut daripada Mohd. Nor Hakim.

The Bos Gaurus pula hampir memperoleh jaringan kedua mereka melalui sepakan penalti diambil Raianderson Da Costa Morais atau Careca namun sepakan lemahnya berjaya ditepis Muhammad Ilham pada minit ke-49.

Perak terus berhasil mendapatkan jaringan kedua mereka menerusi tandukan pemain penyerang import, Ronaldo Henrique Silva selepas mendapat hantaran bola sepakan percuma Leandro pada minit ke-69.

Beraksi dengan sebelas pemain dimanfaatkan sepenuhnya oleh Perak apabila sekali lagi menjaringkan gol menerusi tolakan mudah Ronaldo selepas keadaan kelam-kabut di hadapan gawang TFC I pada minit ke-77.

Skuad Penyu bagaimanapun berjaya memperolehi jaringan saguhati menerusi sepakan percuma pemain tengah import, Chanthacheary Bin yang terus ke gawang Perak pada minit ke-88.

Keputusan akhir Perak berjaya menumpaskan TFC I 3-1 untuk mengutip tiga mata penuh perlawanan.