Tiada masalah kesihatan di perkampungan Orang Asli di Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Semua perkampungan Orang Asli di Perak berada dalam keadaan terkawal dan tiada penduduk mengalami masalah kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna. Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A.Sivanesan berkata pihaknya telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk memantau aspek kesihatan di semua perkampungan orang asli di Perak.

Katanya pihak JKN akan menyediakan laporan mingguan berhubung hasil penelitian serta pemantauan.

“Melalui pemantauan, sehingga kini tiada apa-apa masalah, air yang dibekalkan pun tiada masalah setakat ini.

“Malah, tiada aduan berkaitan dengan masalah kesihatan daripada penduduk atau tok batin di perkampungan Orang Asli. Terkawal sepenuhnya,” katanya kepada Bernama di sini.

Menurut Sivanesan, satu klinik bergerak juga diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk digerakkan dan bertindak jika diperlukan pada bila-bila masa.

Perak mempunyai lebih 60,000 Orang Asli yang tinggal di 256 perkampungan dengan penempatan terbesar iaitu 101 kampung terletak di kawasan Chenderiang, Tapah, kira-kira 65 kilometer dari sini.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Batu 9, Tapah, Osman Bah Ut berkata sebagai individu bertanggungjawab terhadap 157 penduduk, dia sentiasa menasihati sesiapa yang mempunyai masalah kesihatan agar segera berjumpa doktor.

Tidak menolak perubatan alternatif, Osman, 47, berkata apapun usaha yang ingin diikhtiarkan, penduduk kampung dari suku kaum Semai di bawah tanggungjawabnya sering mengutamakan soal kesihatan.

“Kalau tidak sihat kami pergi ke hospital berjumpa doktor, biar doktor tentukan kami sakit apa dan bagi ubat.

“Tapi jika tidak sihat, pergi hospital dan doktor sahkan kami tiada penyakit, baru berubat cara lain,” katanya yang telah 12 tahun menjadi Tok Batin di kampung tersebut.

– BERNAMA