Bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi Meninggal Ketika Perbicaraan

Reading Time: 2 minutes

Bekas Presiden Mesir, Mohamad Mrsi telah meninggal dunia pada hari ini di usia 68 tahun ketika menghadiri perbicaraan di mahkamah di Kaherah.

Beliau yang bercakap dari sangkar kaca semasa sesi perbicaraan memberi amaran bahawa beliau mempunyai “banyak rahsia” yang mahu didedahkan , menurut seorang pegawai kehakiman.

Beberapa minit kemudian, beliau rebah di dalam sangkar, kata pegawai tersebut yang tidak mahu namanya didedahkan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Dalam percakapan terakhirnya, beliau terus menegaskan beliau adalah presiden Mesir yang sah, menuntut satu tribunal khas, kata Kamel Madour, salah seorang peguambelanya kepada AP. TV negara itu berkata Morsi meninggal sebelum sempat dibawa ke hospital.

Kumpulan Ikhwanul Muslimin menuduh kerajaan Mesir “membunuh” beliau melalui keadaan penjara yang teruk selama bertahun-tahun.

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu menuntut siasatan antarabangsa terhadap kematian Morsi dan menggesa rakyat Mesir mengadakan protes di luar kedutaan Mesir di seluruh dunia.

Morsi yang mengidap diabetes telah dipenjara sejak 2013, dalam keadaan terkurung dan dihalang menemui pelawat. Beliau diletak di dalam sangkar kaca pengasingan bersendirian (solitary confinement) dimana tidak dibenarkan bercakap dengan sesiapa. Suara dan jeritannya tidak dapat didengari oleh sesiapa. Keluarganya hanya dibenarkan melawat hanya tiga kali pada masa itu.

Ketua pendakwa Mesir berkata tubuh Morsi akan diperiksa untuk menentukan punca kematiannya. TV tempatan memetik dari sumber perubatan beliau meninggal akibat serangan jantung.

Ia merupakan penghujung yang dramatik bagi seorang tokoh dalam sejarah pergolakan di Mesir sejak revolusi, dari pemberontakan pro-demokrasi pada tahun 2011 yang menggulingkan pemimpin autoritarian, Hosni Mubarak melalui pemerintahan Islam yang kontroversial semasa era Morsi dan kini kembali ke bawah cengkaman penguasaan seorang panglima tentera, Abdel Fattah el-Sisi.

Para pengkritik menuduh Ikhwanul Muslimin menggunakan kekerasan terhadap lawan dan berusaha memonopoli kekuasaan negara. Bantahan besar-besaran menentang pergerakan Ikhwanul Muslimin yang dikatakan dilindungi oleh Morsi sehingga tentera yang diketuai Menteri Pertahanan ketika itu, Abdel Fattah menggulingkan Morsi pada bulan Julai 2013, membubarkan parlimen dan mengharamkan Ikhwan dan dilabel sebagai “kumpulan pengganas”.

El-Sissi mengangkat dirinya sebagai presiden dan dipilih semula pada 2018 di mana kumpulan hak asasi mengkritik pemilihan yang dianggap sebagai tidak demokratik. El-Sissi didakwa telah melancarkan serangan ganas terhadap Ikhwan dan menangkap ribuan pendakwah dan penentang, mengharamkan protes serta menutup ruang kebebasan media.