Kerajaan Utamakan Agenda Membersihkan Negara Daripada Pemimpin Rasuah

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan akan mengutamakan agenda membersihkan negara daripada pemimpin rasuah demi memastikan segala perancangan pembangunan negara berjalan lancar dan mencapai matlamatnya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menegaskan, tanpa rasuah negara akan dapat dibangunkan sehingga ia akan kembali menjadi ‘Harimau Asia’ seperti dahulu.

Menurut beliau, ada juga yang berpendapat kerajaan yang ada hari ini tidak sebaik kerajaan yang lepas kerana kerajaan hari ini tidak membenarkan rasuah.

Tambah beliau, untuk itu mereka beranggapan kerajaan sekarang tidak seharusnya diteruskan dan kembali kepada kerajaan yang rasuah sebelum ini yang akan menguntungkan pelaku rasuah.

“Tetapi percayalah apabila pemimpin dan kerajaan pilihan rakyat mengamalkan rasuah maka kita akan jadi mangsa, kerana kita tidak akan dapat layanan yang sepatutnya daripada kerajaan,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata demikian dalam  ucaptamanya pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam negeri Perak di Dewan Jubilee Kelab Golf Diraja, Ipoh pada Ahad. Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Perdana Menteri seterusnya berkata, pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlu bersih daripada segala jenis rasuah kerana mereka menjadi contoh kepada pihak yang lain.

Katanya, rakyat sudah melihat bagaimana jika pemimpin terlibat dengan rasuah maka ramai juga anggota kerajaan dan pentadbir yang juga terlibat dengan rasuah.

“Ya bagi mereka mungkin kerana disebabkan rasuah mereka lebih sempurna, mereka mendapat pendapatan yang lebih dan apabila kita cuba bersihkan negara daripada rasuah sudah tentu mereka tidak dapat wang rasuah yang biasa diterima oleh mereka.

 “Ada juga di antara kita yang berpendapat bahawa lebih baik mempunyai pemerintah yang rasuah yang akan memberi bantuan kepada kita, beri wang kepada kita secara percuma walaupun haram,” katanya.