Puasa latih diri tolak perkara tidak baik – PM

Reading Time: < 1 minute

Ramadan bukan sahaja bulan untuk berpuasa menahan lapar pada siang hari tetapi juga bagi melatih diri supaya berdisiplin untuk mengawal diri daripada dipengaruhi nafsu, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Berucap pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri yang diadakan pada hari pertama Ramadan 1440H, di Putrajaya hari ini, beliau berkata orang yang dapat mengawal nafsu adalah orang yang dipercayai dalam melaksanakan setiap urusan.

“Umpamanya rasuah kita tahu itu tidak baik dan berdosa, tetapi kita tak melawan nafsu apabila dihulur rasuah kepada kita.

“Maka kita menjadi manusia yang lemah dan tidak dapat mengawal diri dalam apa juga keadaan. Orang lemah takkan berjaya, hanya orang yang kuat akan berjaya, kuat mengawal nafsu,” katanya.

Pemimpin berusia 94 tahun itu turut meluahkan rasa syukur kerana masih mampu melaksanakan ibadat itu dan menyifatkan mengawal nafsu adalah latihan seumur hidup.

Dr Mahathir berkata orang yang mengikut nafsu semata-mata, akhirnya membawa keburukan.

“Mungkin pada mulanya terdapat kejayaan untuk mendapat sesuatu, tetapi akhirnya ia akan menghasilkan keburukan bagi diri kita sendiri,” katanya.

Jika rakyat Malaysia kuat menolak nafsu, Dr Mahathir yakin negara ini juga akan dipercayai dan dihormati seluruh dunia.

“Dengan kepercayaan yang diberi kepada kita, kita akan dapat banyak peluang untuk melakukan segalanya.

“Kita akan dapat naik pangkat yang lebih tinggi kerana hanya orang yang berjaya menolak nafsu akan dipercayai oleh semua, sebagai seorang pegawai dan pemimpin dalam urusan harian kita,” katanya.

Dr Mahathir berkata beliau yakin semua umat Islam akan faham tujuan puasa, bukan semata-mata untuk mendapat pahala tetapi akan menjadikan orang Islam itu manusia yang baik dan boleh dipercayai.

“Tetapi tujuannya tetap sama iaitu untuk mengawal diri daripada perbuatan yang dilarang,” katanya.

– Bernama