Para pemilik kenderaan persendirian boleh menggunakan cermin gelap sepenuhnya di bahagian belakang dan cermin sisi kiri dan kanan penumpang bermula esok.
Perkara itu diumumkan Kementerian Pengangkutan Anthony Loke hari ini.
Bagaimanapun kadar peratusan ketelusan cahaya (VLT) bagi cermin depan dan cermin sisi kiri dan kanan pemandu masih kekal, masing-masing 70 peratus dan 50 peratus.
“Cermin di belakang dan cermin penumpang tidak ada had, boleh gelap. Sebab ramai yang minta supaya kita longgarkan untuk berikan lebih gelap supaya kita boleh tahan haba.
“Kita dah ambil pertimbangan itu tetapi kita tak boleh kompromi untuk cermin depan dan untuk cermin pemandu sebab itu yang lebih penting dan itu (had) kita kekalkan sedia ada,” katanya ketika sidang media hari ini.
Sebelum ini, VLT bagi cermin belakang dan cermin sisi penumpang ialah 30 peratus.
Dalam pada itu, beliau mengumumkan setiap permohonan bagi penggunaan cermin gelap sepenuhnya akan dikenakan bayaran RM5,000 dengan kelulusan untuk dua tahun.
Ketika pentadbiran sebelum ini, katanya, sebanyak 5,469 permohonan telah diluluskan menteri tanpa sebarang bayaran.
“Kita lihat latar belakang kebanyakan mereka yang memohon atas faktor keselamatan adalah tan sri, datuk seri dan orang berkemampuan.
“Saya berpendapat mereka golongan berkemampuan dan jika dikenakan bayaran, ia mampu memberi pendapatan kerajaan,” katanya.
Katanya, permohonan atas faktor kesihatan dikecualikan daripada bayaran tetapi perlu disahkan pakar kerubatan kerajaan.
Penguatkuasaan peraturan baru itu bermula tiga bulan dari sekarang, katanya lagi.
~ Malaysiakini