`Peja’ Minta Media, NGO Bantu Kerajaan Bukan Sensasikan Isu

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meminta pihak media dan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melaporkan isu berkaitan masalah kekurangan nutrisi terhadap kanak-kanak orang asli kepada agensi kerajaan yang  berkenaan.

Katanya, pihak media dan NGO seharusnya membantu kerajaan mencari jalan penyelesaian dan tidak mensensasikan isu berkenaan yang boleh mengundang panik.

Menurut beliau, kerajaan negeri setakat ini tidak menerima sebarang maklumat berhubung isu tersebut.

“Lebih baik mereka mencari jalan membantu bukan mensensasikan berita itu. Jika benar mereka mendapat maklumat tentang kekurangan khasiat kepada anak-anak orang asli ini, laporkan ia kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat terdekat, kepada kerajaan, wakil rakyat, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan bukannya menimbulkan panik.

“Jika benar berlaku keadaan seperti itu, kita akan minta supaya tindakan diambil segera,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di antara Scanda Sky dan Amal by Malaysia Airlines di sebuah hotel di Ipoh pada Selasa.

Ahmad Faizal menjawab laporan akhbar bahawa kanak-kanak orang asli di Gerik berdepan masalah kekurangan nutrisi kesan pembalakan balak di kawasan tersebut.

Beliau menambah, masalah berkaitan kurang nutrisi itu juga turut berlaku di kawasan bandar khususnya bagi keluarga kurang berkemampuan.

“Inilah sebabnya kerajaan memperkenalkan Kad Perak Prihatin untuk memastikan rakyat dapat memberikan makanan berkhasiat kepada anak-anak.

“Kad ini juga kita salurkan kepada semua tempat termasuk perkampungan orang asli Hulu Perak,’’ katanya.

Ahmad Faizal telah melancarkan  Kad Perak Prihatin di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 10 April lalu.

Fungsi Kad tersebut sebagai kad bayaran untuk membeli keperluan makanan sebanyak RM80 sebulan dan kad rawatan kesihatan yang memperuntukkan RM300 setahun kepada 17,000 individu memerlukan di Perak.