‘Air Connectivity’ Rancakkan Pembangunan Dan Pertumbuhan Ekonomi Negeri Perak

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi penerbangan antara Kuala Lumpur – Ipoh dan Guang Zhou, China antara Scanda Sky dan Amal by Malaysia Airlines dalam bidang perlancongan mampu merancakkan pembangunan serta pertumbuhan ekonomi negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri amat mengalukan usaha meningkatkan lagi ‘air connectivity’ dari negeri Perak (Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh) ke satu lagi destinasi yang baru.

“Untuk kali ini, destinasi baru kita ialah GuangZhou, China dan kerjasama ini merupakan sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh banyak pihak apatah lagi ketika ini hubungan di antara dua negara (Malaysia- China) ini berada pada tahap cukup erat.

“Umumnya, peningkatan ‘air connectivity’ seperti ini akan merancakkan pembangunan sesebuah bandar serta pertumbuhan ekonomi negeri dan oleh itu, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk mendapatkan lebih banyak penerbangan terus sama ada domestik atau antarabangsa bagi merealisasikan impian untuk menjadikan Ipoh sebagai hub pelancongan dan pintu masuk utama ke negeri Perak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani memorandum persefahaman (MOU) sempena ‘Charter Flight’ dari Guangzhou, China ke Ipoh, Perak di Hotel Weil, pada Selasa.

Ahmad Faizal berkata, apabila bercakap mengenai usaha untuk menarik kedatangan lebih ramai pelabur dan pelancong ke negeri ini, ia bukanlah bersifat ‘main-main’ atau cakap-cakap politik semata-mata demi mengaburi mata rakyat.

“Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan ketika ini termasuk penubuhan Majlis Tindakan Pelancongan Perak (PTAC) bagi mewujudkan pelan induk untuk memacu sektor pelancongan negeri.

“Malah kita yakin, wujudnya beberapa usaha lain termasuk persetujuan Kerajaan Persekutuan untuk mewartakan Pulau Pangkor bermula Januari tahun depan akan merancakkan lagi kedatangan pelancong asing dan domestik ke negeri ini,” kata Menteri Besar.