Perak Perlu Buat Kajian Lanjut Pengswastaan Pengurusan Sisa Pepejal

Reading Time: < 1 minute

TAIPING | Kerajaan negeri ini perlu membuat kajian lanjut bagi menentukan sama ada langkah penswastaan pengurusan sisa pepejal paling bersesuaian bagi memastikan inisiatif melupuskan sisa pepejal tidak mengakibatkan berlakunya pencemaran alam.

Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak, Yong Choo Kiong, sekiranya langkah penswastaan pengurusan sisa pepejal diambil, Kerajaan Perak perlu memastikan syarikat dipilih menguruskannya benar-benar berkelayakan, berpengalaman, berkemahiran dan mempunyai teknologi tinggi menguruskan sisa pepejal.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai masalah menguruskan sisa pepejal melalui pembabitan pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah, namun beberapa langkah penambahbaikan perlu diambil demi memastikan sistem digunakan lebih efektif dan berkesan.

“Apabila kerajaan Pusat membuat tawaran penswastaan pengurusan sistem pengurusan pepejal kepada negeri-negeri di semenanjung Malaysia 10 tahun lalu, Perak merupakan antara negeri yang tidak menandatangani perjanjian penswastaan itu.

“Jadi, kerajaan negeri ada kuasa untuk membuat ketetapan sendiri dalam menguruskan sisa pepejal di negeri ini.

“Justeru, kerajaan negeri perlu membuat kajian lanjut sebelum memutuskan sama ada langkah penswastaan paling baik atau ada kaedah sistem pengurusan sisa pepejal lain yang lebih efektif,’’ katanya kepada pemberita pada Majlis Mengangkat Sumpah dan Menerima Jawatan Yang Dipertua sebagai Ahli Majlis Majlis Perbandaran Taiping (MPT) pada Selasa.

Majlis itu menyaksikan bekas Setiausaha MPT, Borhan Abdul Halim dilantik sebagai Yang Dipertua( YDP) MPT baharu berkuatkuasa 9 April lalu bagi menggantikan bekas penyandangnya, Datuk Abdul Rahim Md Ariff yang bersara wajib 1 April lalu.

Choo Kiong menambah, kerajaan negeri sedang mengumpul segala maklumat dan  mencari kaedah paling baik melaksanakan sistem pengurusan sisa pepejal efisien, mesra alam dan menjimatkan kos.

Menurutnya, kerajaan negeri sudah mengadakan banyak lawatan ke negara maju yang mahir menguruskan sisa pepejal seperti Jepun, China dan Taiwan untuk meninjau dan mempelajari teknik sistem pengurusan sisa pepejal daripada negara-negara terbabit.