Kes Bunuh: Bekas Rakan Sekolah Ditahan

Reading Time: 2 minutes

KUALA BERANG (BERNAMA) | Polis menahan seorang pelajar perempuan tingkatan enam hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh Siti Nur Surya Ismail, 19, di Kampung Lubuk Batu, Telemong, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata suspek yang merupakan rakan sebaya arwah, ditahan di Balai Polis Telemong pada pukul 8.15 pagi ketika tampil bersama ibunya untuk memberi keterangan.

Suspek hadir ke balai polis selepas mendapati terdapat imej dirinya dalam video rakaman litar tertutup (CCTV) dari bangunan menternak burung berhampiran rumah arwah yang tular di aplikasi WhatsApp sejak malam tadi.

Mohd Adli berkata suspek kemudiannya ditahan selepas memberikan keterangan meragukan, selain mendapati terdapat kesan kecederaan dan gigitan di tangannya dipercayai akibat pergelutan.

Susulan itu, siasatan lanjut telah dilakukan di rumah suspek dan polis menjumpai barang-barang yang hilang daripada rumah Allahyarhamah Siti Nur Surya seperti telefon bimbit, wang tunai dan beberapa kelengkapan alat kecantikan.

“Suspek merupakan rakan arwah sehingga tingkatan lima dan dia mengakui telah berkunjung ke rumah itu dengan menaiki motosikal pada pukul 9.00 pagi semalam. Ketika mereka berbual, telah berlaku perselisihan faham hingga berlaku pergelutan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu di sini hari ini.

Mohd Adli berkata dalam pergelutan di ruang tamu itu, suspek dipercayai telah mencapai sebilah pisau pemotong sayur.

“Rumah suspek hanya dua kilometer daripada rumah arwah. Setakat ini, senjata yang digunakan masih belum ditemui, namun hasil siasatan, polis percaya hanya pelajar ini sahaja yang terlibat,” katanya sambil dan menambah, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang esok untuk direman.

Ketika ditanya mengenai saksi kejadian, Mohd Adli berkata meskipun ibu mangsa berada di lokasi kejadian namun beliau tidak boleh dijadikan saksi kerana tidak dapat bertutur dengan jelas dan gagal memahami soalan polis mengenai kejadian.

Semalam, Siti Nur Surya yang menjaga ibunya yang terlantar akibat sakit kanser otak, ditemukan mati dengan kesan tetakan pada badan, di samping putus tangan kiri. Mayatnya ditemukan adik perempuan arwah yang berusia 15 tahun semasa pulang dari sekolah kira-kira pukul 2.30 petang.

Sementara itu abang arwah, Mohd Zarif Amir, 29, berkata ibunya Zaini Musa, 55, masih tidak mengetahui apa-apa mengenai kejadian itu dan masih tertanya-tanya di mana kelibat anak kelima daripada tujuh beradik itu.

Beliau berkata ibunya telah terlantar sakit kira-kira dua bulan setelah menjalani rawatan radioterapi pada tahun lepas, hingga menyebabkan penglihatannya kabur di samping hilang daya ingatan.