Kes Kematian Askar Akan Disiasat CID – Ayob Khan

Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU | Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berkait kematian seorang askar yang dikatakan melompat dari tingkat tiga bangunan kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat pada 29 Ogos.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kes itu juga kini disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Johor (CID).

“Sebelum ini, kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut tetapi sekarang ia telah diambil alih dan berada di bawah pengurusan CID Johor,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Ayob Khan berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa askar itu dianiaya dan dibuli sebelum ini.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Suprintendan Muhammad Izzudin Runggai, melalui satu kenyataan, mengatakan askar itu mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di Batu Pahat.

Dia disahkan meninggal dunia pada 6 Sept ketika masih menjalani rawatan di ICU.

Pada masa yang sama, Muhammad Izzudin mengatakan polis akan menentukan kesahihan tuntutan oleh ahli keluarga mangsa bahawa ada kemungkinan mangsa dianiaya dan dibuli ketika berada di kem sebelum kejadian.

Sebelum ini, berita mengenai askar itu tersebar di media sosial.