Ketua Pembangkang: Siapa Sebenar MB Perak?

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani Mohamad mempersoalkan siapa Menteri Besar Perak yang sebenar susulan kenyataan yang dibuat oleh beberapa Exco yang melibatkan dasar kerajaan dilihat bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau menyebut contoh kenyataan mengenai isu menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dibuat oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin sedangkan Dato’ Seri Ahmad Faizal menyebut lapangan terbang baru akan dibina di Behrang.

Tambahnya, dalam isu pemilikan hak milik tanah 999 tahun pula, Ahmad Faizal menyebut kerajaan tidak dapat melaksanakannya memandangkan ia tidak selaras dengan perlembagaan manakala Exco kerajaan, Prof. Dr Abdul Aziz Bari menyatakan penganugerahan hak milik tanah 999 tahun itu tidak bercannggah dengan perlembagaan.

“Jadi dalam soal ini siapa sebenar Menteri Perak … adakah Perak ada tiga Menteri Besar?, katanya kepada pemberita di bilik sidang media Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu. Hadir sama ialah mantan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Saraani secara sinis mendakwa, ini jelas menunjukkan tiada disiplin dalam kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding pimpinan kerajaan UMNO BN terdahulu di mana hanya Menteri Besar sahaja yang mempunyai kuasa untuk membuat kenyataan berhubung dasar yang diputuskan kerajaan.

“Ini adalah disiplin sebenar yang ditunjukkan oleh kerajaan terdahulu,” kata Saarani.

Sebelum itu kesemua ADUN BN bertindak keluar Dewan sebagai protes terhadap kenyataan yang dibuat Speaker Dewan Ngeh Khoo Ham yang mengimbas sejarah lama kononnya berlaku rampasan kuasa semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Rakyat tahun 2009.

Saarani mendakwa, Ngeh yang sepatutnya dilihat bersikap neutral sebagai Speaker DUN sebaliknya cuba berbahas dengan pihak pembangkang dan bersikap `bias’ (berat sebelah).

“Speaker tak boleh tunjukkan bias, dia menyampuk sana sini atau menjawab bagi pihak … bila kita berbahas, dia nak jawab.

“Speaker kena mempunyai sikap yang berkecuali …. jangan menunjukkan belangnya. Kalau dia menunjukkan belangnya, dia tak boleh mengendalikan Dewan itu dengan baik. 

“Apabila dia ‘bias’, kita tengok macam mana orang main bola, kadang-kadang sebab ‘referee’ kelihatan tidak cekap, tidak tegas, tidak adil, pemain bertumbuk. So speaker adalah ‘referee’,” katanya.