Dr Zambry Jawab Nga Kor Ming, Lari Dari Soaljawab PAC

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr Zambry Abd Kadir menzahirkan rasa terkejut terhadap kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang menuduhnya cuba melarikan diri dalam sesi pendengaran awam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) Isnin lalu.

Dr Zambry menegaskan, beliau tidak gentar dengan cuba mengelak atau lari menjawab soalan pada sesi pendengaan itu.

“Saya ingin jelaskan sekali lagi bahawa saya tidak gentar dengan cuba mengelak atau lari dari menjawab soalan kerana jika demikian, saya tidak akan menghadirkan diri sama sekali.” katanya kepada pemberita di bilik sidang media Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Menurut Dr Zambry, sebelum sesi pendengaran dimulakan beliau telah menimbulkan satu isu yang asas kepada PAC dan melontarkan persoalan kenapa jawatankuasa itu mengadakan sesi pendengaran secara terbuka, sesuatu yang di luar kebiasaan.

Katanya, Pengerusi PAC dalam responnya mengakui bahawa sesi itu adalah yang pertama kali dibuat secara pendengaran awam, atas alasan ia boleh ditentukan sendiri oleh mereka.

“Saya mempersoalkan motif PAC membuat prosiding seperti mahkamah itu sedangkan ia tidak pernah berlaku dalam sejarah DUN Perak dan Parlimen Malaysia.

“Apa yang saya inginkan ialah keadilan mengikut tatacara PAC yang selama ini diamalkan di dalam DUN Perak … sama seperti ahli-ahli yang lain,” katanya.

Menurut Dr Zambry, kenyataan Nga semalam menunjukkan sikap membangkang beliau tidak pernah berubah.

“Saya mengharapkan apabila menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat, tentunya beliau lebih matang dan bersifat lebih santun ketika memberi ulasan.

“Namun ,.. walaupun sudah menjadi anggota kerajaan, malah dilantik menjawat jawatan tinggi dalam institusi Parlimen, sikap dan cara menyerang saya masih lagi terangkum dalam pemikiran pembangkang,” katanya.