Kewajaran Bubar DUN Sabah Ditetapkan Pada 21 Ogos

Reading Time: < 1 minute

KOTA KINABALU | Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan pada 21 Ogos sama ada keputusan Yang Dipertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai adalah wajar.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim menetapkan tarikh itu selepas mendengar penjelasan lebih empat jam menerusi hujahan peguam mewakili  Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri, para pemohon serta Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan tiga yang lain, selaku responden.

Beliau turut membenarkan permohonan peguam Tengku Fuad Ahmad untuk menyerahkan jawapan bertulis sebagai jawapan kepada hujahan lisan oleh peguam mewakili para responden.

Mahkamah itu mendengar perkara berkaitan ‘boleh diadili” (tertakluk boleh dibicarakan di mahkamah) berikutan terdapat permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan membubarkan DUN yang dikemukakan Musa dan 32 ADUN yang menyokongnya.

Mereka menamakan Tun Juhar sebagai responden pertama, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai responden kedua, Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai responden ketiga dan Kerajaan Sabah sebagai responden keempat.

Tengku Fuad ketika membuat permohonan untuk menyerahkan jawapan bertulis, menegaskan bahawa peguam mewakili para responden telah memfailkan hujahan bertulis mereka hanya pada tengah hari 14 Ogos dan bukannya pada 10 Ogos seperti ditetapkan mahkamah.

Katanya beliau perlu menjawab hujahan dikemukakan seorang daripada peguam mewakili responden,  Chung Jiun Dau, yang tidak memenuhi arahan Shim untuk menjelaskan dari segi ‘boleh diadili” akan tindakan Tun Juhar membubarkan DUN.

“Kami (peguam mewakili kumpulan pemohon) terkejut apabila peguam mewakili responden berhujah bahawa 33 Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan tidak mempunyai locus standi untuk mempersoalkan kuasa responden pertama (Tun Juhar) dalam membubarkan Dewan Undangan Negeri,” katanya.

— Bernama