Komando 69 Pilih Ipoh Lokasi Acara Payung Terjun Antarabangsa

Reading Time: 2 minutes

Warga Perak terutama mereka yang tinggal di sekitar Bandaraya Ipoh akan berpeluang menyaksikan acara Payung Terjun Antarabangsa yang akan diadakan di Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah (padang polo) bermula 22 Oktober hingga 2 November 2019.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Pasukan 69 Komando dengan kerjasama kerajaan negeri Perak adalah bersempena dengan sambutan Jubli Emas Pasukan Khas Polis DiRaja Malaysia atau lebih dikenali sebagai VAT69.

Kenyataan tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam sidang akhbar selepas majlis ‘soft-launch’ acara itu di Pangkalan Latihan Unit Udara PDRM, Ipoh petang tadi.

Terdahulu dalam ucapan beliau, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri Perak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Komando 69 kerana memilih Perak khususnya Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz Shah, Ipoh sebagai venue acara Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019.

“Kita amat berbesar hati untuk menyambut kehadiran semua pasukan yang bakal bertanding dalam kejohanan bertaraf dunia yang julung-julung kali diadakan ini sempena dengan sambutan Jubli Emas pasukan elit PDRM ini.

“Kerajaan negeri Perak amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan pasukan VAT69 bagi menjayakan penganjuran kejohanan yang dijangka akan turut menarik minat beberapa pasukan dari luar negara.

“Antaranya Bahrain, Australia, Arab Saudi, Indonesia, Thailand dan Singapura,” kata Ahmad Faizal.

Menurut Ahmad Faizal lagi, penganjuran kejohanan seperti ini adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengangkat negeri Perak sebagai salah satu destinasi pelancongan dan sukan ekstrim yang terkenal bukan saja di dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Beliau juga berkata kerajaan negeri berharap supaya acara ini akan dijadikan acara tahunan di Perak sekaligus menjadikan ia sebahagian dari daya tarikan dalam sektor pelancongan di negeri ini.

Beliau turut memberi keyakinan bahawa dengan kerjasama yang baik sokongan dari agensi-agensi kerajaan dan korporat akan mampu membawa lebih banyak penyertaan untuk edisi-edisi selepas ini. Beliau juga turut menyeru penyertaan dari pihak swasta dan badan-badan berkanun untuk bersama dengan pasukan Komando 69 untuk menjayakan kejohanan Payung Terjun Antarabangsa Perak 2019 ini.

“Perak sememangnya mempunyai banyak daya tarikan semulajadi yang sesuai untuk dijadikan lokasi sukan ekstrim bertaraf antarabangsa.

“Sebagai contoh, sukan mendaki, triathlon, white water rafting dan banyak lagi. Justeru kita amat mengalu-alukan kerjasama dari semua pihak untuk meninjau lokasi-lokasi ini yang berpotensi untuk penganjuran pelbagai jenis sukan ekstrim,” tambah beliau.

Usai majlis pelancaran, beliau dan para tetamu serta media dibawa menyaksikan persembahan terjunan dari pesawat oleh 6 anggota pasukan.