Lantikan Politik Era BN: AMK Perak Minta Undur Diri Secara Terhormat

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perak mendesak individu yang menjawat jawatan melalui lantikan politik ketika zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dahulu agar meletak semua jawatan mereka dengan penuh hormat dari pentadbiran Pakatan Harapan.

Exco AMK Perak, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim yang membuat desakan ini berkata, berdasarkan penelitian pihaknya, kesemua mereka ini masih lagi memegang jawatan sekurang-kurangnya di 23 syarikat berkaitan kerajaan dan dua perbadanan.

AMK Perak mendapati masih ramai pemimpin dari Barisan Nasional terutamanya dari UMNO masih lagi memegang jawatan dalam kerajaan negeri Perak dengan tanpa rasa segan silu.

Menurut kenyataan itu, mereka ini masih lagi berada di Perbadanan Kerajaan Negeri, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri. Ada juga diantara mereka yang berkempen pada Pilihanraya Umum Ke-14 yang baru lalu dan yang terbaru mereka ini bertanding pula untuk merebut jawatan dalam Pemilihan UMNO.

“Ada antara mereka pada PRU14 lalu berkempen secara terbuka mengajak rakyat mengundi BN dan tidak kurang bertanding pada pemilihan Umno.

“Demi urus tadbir yang baik, telus dan bebas dari kronisma adalah lebih baik mereka meletak jawatan dengan penuh hormat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau, peralihan kuasa yang berlaku pada PRU14 di Perak telah membawa mesej penting bahawa rakyat tidak lagi mahu Umno berada dalam pentadbiran kerajaan. Katanya, isyarat perubahan itu perlu dipandang serius agar amanah diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan dapat dilaksanakan penuh intergriti dan profesional.

“Malangnya mesej ini gagal difahami golongan tersebut….AMK mengambil tanggungjawab untuk menyampaikan mesej ini dengan lebih tegas,” katanya.